Penerangan UMNO Perlu Giat Kawal Naratif, Persepsi – Mohd Syahbuddin

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Penerangan UMNO perlu giat bekerja untuk mengawal naratif dan persepsi yang dimainkan pihak lawan terutamanya di negeri-negeri bawah pentadbiran Kerajaan Empat Negeri (SG4).

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Syahbuddin Hashim berkata, realiti politik di keempat-empat negeri tersebut adalah berdasarkan emosi, tidak kepada pentadbiran.

“Di Negeri Kelantan, kita ada dua orang wakil rakyat UMNO dan seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (PH). Di Negeri Kedah, Perlis dan Terengganu kita tidak ada seorang pun wakil rakyat daripada UMNO.

“Realitinya di empat negeri ini politik tidak hanya pada dasar. Tetapi, ia politik emosi. Bagaimana kita boleh mengawal emosi dan menterjemahkan nilai … itulah yang rakyat nak tengok.

“Di SG4 ini saya nampak naratif politik emosi dan nilai ini masih lagi kekal di tangga teratas sebagai politik yang dimainkan 24 jam sehari. Lawan kita guna populis agama. Pada 1990 mereka menggunakan slogan ‘Membangun Bersama Islam’.

“Pada 2013, ‘Merakyat Membangun Bersama Islam’. Pada 2023, ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’. Kuncinya Islam, syurga, neraka, kafir, islamik dan juga sekular,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi pembentangan sempena Simposium Politik Era Digital anjuran Penerangan UMNO Malaysia yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, Penerangan UMNO perlu bijak dalam menangkis persepsi yang ditimbulkan oleh pihak lawan mengikut kedinamikan politik di setiap negeri.

“Bagaimana kita mengawal naratif kita? Kita perlu berjaya mengawal masa, persepsi dan memastikan segala mesej sampai ke akar umbi. Pada saya, Penerangan UMNO kena kembali kepada peranan asal dan kita kena jaga semua perkara ini sebaiknya.

“Jangan ingat kerja Penerangan UMNO ini hanya menerangkan. Ini pemikiran di takuk lama. Penerangan UMNO pada hari ini pertamanya harus sedar bahawa tidak semua isu harus dijawab. Adakalanya ‘diam strategik’ itu perlu digunakan. Kedua, tidak semua serangan perlu dilayan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) juga perlu mempunyai mentaliti untuk menang serta yakin mampu menawan semula negeri-negeri yang kini ditakluki pembangkang.

“Jadi saya berharap agar Penerangan UMNO kembali semula kepada fungsi dan juga peranannya. Pada saya, daripada kita bersifat defensif … tukarkan kepada keyakinan. Kita kena yakin bahawasanya satu hari nanti kita akan menguasai kembali negeri-negeri kita.

“Kelantan contohnya. Tahun ini adalah tahun ke-36. Tetapi, sedikit pun kami di Kelantan tidak merasakan yang kita kita berjaya. Kita yakin satu hari nanti SUK akan diduduki oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN.

“Kita juga yakin satu hari nanti Terengganu akan kembali kepada tampuk kepimpinan UMNO. Kita yakin bahawa Kedah yang satu ketika dahulu kubu kuat UMNO akan kembali kepada UMNO … dan kita yakin Perlis yang baru sekali bertukar tangan selepas ini akan bertukar kembali kepada UMNO,” katanya lagi.

Simposium Politik Era Digital 2026 menjadi pembuka tirai kepada Perhimpunan Agung UMNO 2025 yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail, hari ini.

Simposium berkenaan dianjurkan oleh Penerangan UMNO Malaysia sebagai platform perbincangan strategik bagi membincangkan landskap politik semasa yang semakin dipengaruhi oleh perkembangan teknologi digital, media sosial serta perubahan corak pemikiran pengundi, khususnya generasi muda.

Program ini diadakan menerusi tiga sidang sesi pleno, yang menghimpunkan pemimpin parti bagi berkongsi pandangan dan idea ke arah memperkukuh peranan UMNO dalam era digital. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO