Ahmad Zahid Tekankan Strategi Menyerang Dalam Perang Saraf Politik
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru akar umbi parti untuk memanfaatkan media sosial sebagai medan utama bagi menyampaikan maklumat tepat serta menangkis serangan fitnah terhadap parti.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata senario politik sebelum ini yang menyaksikan elemen fitnah menjadi senjata pihak tertentu dalam menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) suatu ketika dahulu perlu dijadikan pengajaran.
“Melemparkan kebencian kepada Datuk Seri Najib Razak, kepada UMNO tetapi orang itu apabila jadi pembangkang, menggunakan sosial media cukup hebat.
“Apabila jadi kerajaan, tidak lagi menggunakan pendekatan yang sama. Populariti berkurangan. Jadi kita tidak mahu begitu keadaan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap sempena Simposium Politik Era Digital 2026 yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said; ketua-ketua penerangan negeri dan jentera penerangan bahagian seluruh negara.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menegaskan bahawa dalam medan perang saraf politik masa kini, pendekatan pasif sudah tidak memadai, sebaliknya jentera perlu proaktif menyerang dengan naratif serta fakta yang tepat dan berkesan.
“Dalam perang saraf, kaedah yang paling berkesan untuk mempertahankan diri adalah dengan menyerang.
“Masalah kita ialah tidak menyerang… kalau diserang pun, kita buat tidak membela,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa kekuatan jentera parti perlu digembleng sepenuhnya dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.
“Ketika ini kita hanya tinggal 22 bulan maksimum untuk menghadapi PRU16… untuk tempoh ini jentera parti inilah sebagai barisan hadapan yang boleh mempertahankan UMNO dan boleh menyerang seteru-seteru politik,” ujar beliau. – UMNO Online
