PAU 2025: Politik Era Digital Tuntut Gerak Kerja Lebih Strategik – Suraya

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Setiausaha Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Suraya Yaacob berpandangan gerak kerja penerangan hari ini menuntut peranan lebih strategik dan mendahului dalam membentuk naratif politik, selari dengan perubahan landskap komunikasi semasa.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pendang berkata, pendekatan konvensional dalam menyampaikan maklumat tidak lagi mencukupi, memandangkan medan politik hari ini sudah beralih ke platform digital dan media sosial.

“Penerangan UMNO memahami satu hakikat penting bahawa politik hari ini tidak lagi dimenangi hanya dengan niat yang betul tetapi naratif, masa dan melalui saluran yang betul menggunakan segala alat digital untuk menganalisa sentimen serta menentukan garis komunikasi yang bersasar.

“Hari ini medan politik tidak lagi hanya di pentas ceramah atau halaman akhbar. Ia hidup di telefon bimbit rakyat, di algoritma media sosial dan di persepsi yang dibentuk sebelum fakta sempat dijelaskan.

“Dalam realiti ini, penerangan tidak boleh lagi bersifat reaktif. Kita tidak boleh hanya menjawab selepas diserang, tidak boleh sekadar menafikan tanpa membina kefahaman sebaliknya penerangan mesti memimpin naratifnya,” katanya.

Suraya berkata demikian ketika berucap sempena Simposium Politik Era Digital 2026 yang diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini. Simposium ini diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025.

Turut hadir Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said; ketua-ketua penerangan negeri dan jentera penerangan bahagian seluruh negara.

Mengulas lanjut, berkenaan penganjuran simposium, Suraya berkata ia diadakan bagi
membentuk kefahaman bersama terhadap keperluan komunikasi politik yang tepat, tersusun dan berpaksikan naratif yang sesuai dengan sentimen rakyat

Katanya lagi, pendekatan komunikasi dalam parti perlu mengambil kira realiti berbeza di setiap negeri yang mempunyai cabaran politik tersendiri.

“Semuanya menuntut satu keupayaan yang sama iaitu disiplin komunikasi dan kematangan naratif. Ada negeri yang berdepan dominasi populisme agama dan emosi. Ada negeri yang memerintah tetapi prestasinya tidak difahami rakyat malah ada yang berada dalam kerajaan campuran di mana identiti UMNO perlu dijaga tanpa menjejaskan kestabilan.

“Namun perbincangan hari ini bukan untuk mencari slogan baru, tetapi untuk menjawab soalan yang lebih besar. Datanglah dengan fikiran terbuka, keberanian untuk mengakui kelemahan dan dengan kesediaan untuk belajar antara satu sama lain.

“Kerana kekuatan penerangan UMNO bukan terletak kepada seorang individu, tetapi kepada kesepaduan pemikiran dan disiplin tindakan seluruh jentera.

“Saya yakin apabila kita melangkah keluar dari dewan hari ini, kita bukan sahaja lebih faham cabaran yang dihadapi, tetapi lebih yakin dengan peranan kita sebagai penerangan UMNO dalam menghadapi medan politik era digital masa kini,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO