Politik Prestasi Perlu Dirasa Rakyat, Bukan Sekadar Angka Dan Laporan – Shahaniza

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Ketua Penerangan UMNO Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata dalam landskap politik semasa, kejayaan tadbir urus dan prestasi kerajaan tidak lagi menjamin sokongan berterusan rakyat sekiranya ia gagal diterjemahkan secara berkesan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan fenomena ini jelas kelihatan di beberapa buah negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) di mana terbukti atas pencapaian dasar, ekonomi dan kestabilan pentadbiran.

“Situasi ini menuntut pendekatan politik prestasi yang bukan sahaja berasaskan pencapaian sebenar tetapi juga keupayaan untuk menterjemahkan kejayaan tersebut dalam bentuk yang difahami, dirasai dan diyakini oleh rakyat.

“Kita harus menyatukan naratif persepsi kerajaan dengan parti dan tidak boleh dipisahkan. Kita harus bergabung dan mewujudkan pasukan media dan mempunyai kuasa sekiranya rugi sekiranya tidak memperkuatkan parti.

“Kita juga harus memikirkan apa-apa strategi yang berkesan seperti contoh memberikan kit persekolahan kepada murid-murid di Pahang dan juga isu-isu yang terdahulu pun sudah tertutup dengan fakta yang diberikan. Kita kena bawa same story untuk angkatkan viraliti supaya prestasi UMNO dapat merasa pada rakyat,” katanya pada program Simposium Politik Era Digital 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL).

Turut hadir, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Seri Azalina Othman Said; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan; Datuk Mohd Rafi Alli Hassan; Ketua Penerangan Wanita UMNO Datuk Rosni Zahari; Ketua Penerangan Puteri UMNO Shamellya Norazizi serta jentera-jentera penerangan seluruh Malaysia.

Tambah beliau, cabaran kini adalah melawan politik persepsi sepertimana yang terdapat di media sosial bahawa pihak pembangkang sentiasa memulakan persepsi tentang agama.

Mengulas lanjut, Shahaniza yang juga Ketua UMNO Bahagian Maran, kerajaan BN telah mencatatkan pelbagai kejayaan terutamanya dari segi kestabilan politik, ekonomi dan kebajikan rakyat.

“Namun… kegagalan menterjemahkan persepsi telah menyebabkan prestasi kerajaan tidak dapat dirasai secara emosional oleh rakyat.

“Kejayaan dasar dilihat sebagai angka tapi bukannya pengalaman hidup namun naratif pihak lawan telah menembusi emosi rakyat berbanding fakta kerajaan.

“Tanpa pembetulan strategi penerangan, risiko kehilangan sokongan politik akan terus meningkat walaupun prestasi tadbir urus kekal baik,” jelasnya.

Seterusnya kata beliau, politik prestasi bukan sekadar soal kejayan mentadbir tetapi keupayaan menterjemahkan kejayaan tersebut kepada makna yang mudah difahami dan dirasai oleh rakyat.

“Dalam era persaingan naratif yang semakin kompleks, penerangan yang strategik, berdisiplin dan berempati menjadi kunci kepada kelangsungan sokongan politik.

“Kejayaan sebenar bukan hanya pada apa yang kerajaan capai tetapi sejauh mana rakyat percaya bahawa kejayaan itu adalah untuk mereka semata-mata,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO