Perjuangan UMNO Berterusan Terutama Pendidikan Melayu – Puad
KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pengerusi Sekretariat Pendidikan dan Penyelidikan UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata UMNO bukan sahaja parti idealis tetapi juga realistik.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjelaskan parti ini tidak bermain dengan formula tetapi ‘walk the talk’ dengan agenda yang realistik.
“Ini kerana UMNO merupakan sebuah parti perjuangan yang lahir daripada penentangan terhadap Malayan Union. Sehingga hari ini, UMNO terus kekal kerana perjuangannya yang mendapat sokongan Melayu dan rakyat.”
Menurut beliau, UMNO berpotensi untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat sekiranya parti itu terus memperkasakan agenda perjuangannya, khususnya dalam agenda pendidikan Melayu.
“UMNO akan dapat kembali ‘trust’ apabila ia konsisten memperjuangkan agenda Melayu, terutamanya dalam aspek pendidikan.
“Antara ciri kepimpinan yang realistik ialah mengutamakan maslahah, menolak mudarat, mempunyai kebijaksanaan, bersifat taktikal namun tetap berprinsip, supaya akhirnya objektif agenda Melayu dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Menperkasa Pendidikan Melayu, malam tadi.
Konvensyen ini dirasmikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, serta khalayak.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menjelaskan bahawa memperkasakan pendidikan Melayu bermaksud memperkukuhkan kejayaan yang telah sedia ada, di samping memastikan kesinambungan kecemerlangan untuk generasi akan datang.

“Sudah banyak kejayaan dicapai dalam melaksanakan agenda pendidikan Melayu yang berkualiti, termasuk kejayaan Dasar Pelajaran Kebangsaan, penubuhan Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), program Matrikulasi dan lain-lain.
“Ia perlu terus diperkasakan selari dengan perubahan dan cabaran semasa, dan itulah sebenarnya objektif resolusi Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu,” katanya.
Beliau turut mencadangkan pemberian tablet percuma kepada semua pelajar, selain mewujudkan laluan khas kepada pelajar tahfiz. Menurutnya, institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) perlu menyediakan laluan serta program khas kepada pelajar tahfiz yang tidak memiliki sijil peperiksaan seperti SPM dan STPM bagi membolehkan mereka melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.
Dalam masa yang sama, Puad Zarkashi menegaskan keperluan memandu pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara lebih terancang berasaskan pengkhususan oleh institusi pelaksana.
“Antara resolusi lain ialah memperkasakan sistem pentaksiran sekolah agar melahirkan pelajar yang lebih holistik, menambah bilangan SMKA Ulul Albab daripada satu kepada dua buah di setiap negeri, serta menjadikan STEM sebagai agen mobiliti sosial Melayu.
“Selain itu, program Tingkatan Enam dan Matrikulasi dicadangkan diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), di samping menambah bilangan sekolah pendidikan khas serta memperkukuh Bahasa Melayu dan penguasaan komunikasi Bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa kesemua resolusi tersebut memerlukan kemahuan politik yang jelas bagi memastikan pelaksanaannya, termasuk membawanya ke peringkat Kabinet untuk dipersetujui dan dilaksanakan. – UMNO Online
