PAU 2025 Amat Penting, Signifikan Tentukan Hala Tuju Parti – Mohd Rafi
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, mengucapkan Selamat Bersidang kepada seluruh perwakilan UMNO yang hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2025, menyifatkan perhimpunan kali ini sebagai amat penting dan signifikan dalam menentukan hala tuju parti ke hadapan.
Menurut beliau, Perhimpunan Agung ini menjadi medan utama bagi UMNO dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka berlangsung pada tahun 2027. Rakyat, ahli serta akar umbi parti menaruh harapan tinggi agar perhimpunan tersebut menghasilkan keputusan dan arah yang jelas demi memperkukuhkan semula perjuangan UMNO.

“Perhimpunan Agung pada kali ini amat penting dan signifikan buat parti dalam menentukan hala tuju UMNO ke hadapan, khususnya menjelang PRU16. Rakyat, ahli serta akar umbi sedang menunggu dengan penuh harapan keputusan dan arah yang jelas demi memperkukuhkan kembali perjuangan parti keramat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menekankan bahawa UMNO telah dan sedang melalui pelbagai cabaran besar, baik dari sudut dalaman parti mahupun dari peranan serta tanggungjawab parti dalam Kerajaan Perpaduan. Situasi ini, katanya, menuntut kebijaksanaan, keberanian dan keikhlasan seluruh kepimpinan dan ahli untuk kembali berpaut kepada asas perjuangan UMNO — iaitu bersatu, berkhidmat, dan mendahulukan kepentingan rakyat.
Datuk Mohd Rafi turut mendoakan agar Perhimpunan Agung UMNO 2025 berjalan lancar, penuh hikmah dan mampu menghasilkan keputusan terbaik demi masa depan parti, agama, bangsa dan negara.
“Insya-Allah, UMNO akan terus bangkit dan kembali kukuh dengan dukungan ahli serta kepercayaan rakyat,” tambah beliau.
Perhimpunan Agung UMNO 2025 ini menjadi perhatian utama rakyat dan ahli parti kerana ia bukan sahaja menentukan strategi parti, malah turut mempengaruhi persediaan menghadapi PRU16 dan masa depan politik negara. – UMNO Online
