UMNO Kelantan Syukur Keputusan NFA Kes Ahmad Zahid, Sahkan Kebenaran
KOTA BHARU, 13 Jan — UMNO Kelantan menzahirkan rasa syukur susulan keputusan ‘No Further Action’ (NFA) terhadap kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menurutnya itu membuktikan kes berkenaan bermotifkan politik ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) 1.0.
Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata keputusan tersebut mengesahkan keyakinan UMNO bahawa pendakwaan ke atas Ahmad Zahid sebelum ini merupakan satu perancangan terancang bagi melemahkan dan menghancurkan parti terbabit sebagai parti politik Melayu tertua di negara ini.
“UMNO Kelantan bersyukur dengan keputusan NFA ini. Ia jelas menggambarkan bahawa kes yang dikenakan terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid sebelum ini adalah bermotifkan politik, khususnya ketika era pemerintahan PH 1.0,” katanya kepada UMNO Online.

Menurut beliau, perkembangan itu juga perlu dilihat dalam konteks keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2022 yang membebaskan dan melepaskan Ahmad Zahid daripada beberapa pertuduhan yang dihadapinya.
“Ketika keputusan itu dibuat, kita semua masih ingat bagaimana suasana di mahkamah, termasuk reaksi emosional seorang hakim yang menurut pemerhatian kami jelas menunjukkan kekecewaan dan kesedihan ketika membacakan penghakiman,” dakwanya.
Zawawi berkata, episod pendakwaan dan perbicaraan tersebut telah memberi kesan besar kepada landskap politik negara dan persepsi rakyat terhadap institusi keadilan, terutamanya apabila ia berlaku dalam suasana politik yang tegang selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
“Drama dan epilog politik sepanjang pemerintahan PH 1.0 itu kini dapat dirasai dan difahami oleh rakyat. Segala yang berlaku ketika itu bertujuan untuk menghancurkan UMNO melalui tekanan undang-undang dan persepsi awam,” katanya lagi.
Pada 8 Januari lepas, Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.
AGC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk aspek sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana berkenaan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan, keputusan oleh AGC itu tidak dibuat secara ‘suka-suka’ dan jabatan itu tidak akan memberikaNFA tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes. – UMNO Online
