Agenda Reformasi Undang-Undang MADANI Diperkukuh Berteraskan Prinsip 3T – Azalina

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Kerajaan MADANI terus memperkukuh agenda reformasi undang-undang dan institusi negara memasuki tahun 2026 dengan memberi penekanan kepada pembinaan kerangka akauntabiliti Malaysia yang lebih telus, tegas dan tertib.

Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, usaha tersebut berteraskan tiga prinsip utama iaitu Telus, Tegas dan Tertib (3T) sebagai asas kepada pembaharuan sistem tadbir urus negara.

“Memasuki 2026, agenda reformasi undang-undang dan institusi MADANI terus diperkukuh dengan fokus utama kepada pembinaan kerangka akauntabiliti Malaysia yang lebih telus dan berfungsi, berpaksikan prinsip Telus, Tegas dan Tertib,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Sebagai langkah awal, Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO memaklumkan bahawa beliau telah mengadakan pertemuan bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk organisasi masyarakat sivil dan pakar perlembagaan bagi memastikan reformasi yang dirangka bersifat inklusif dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

Ujarnya, pertemuan tersebut melibatkan organisasi masyarakat sivil seperti Bersih dan Projek SAMA, selain pakar-pakar perlembagaan dan penganalisis politik antaranya Prof. Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dan Prof. Wong Chin Huat.

“Pendekatan inklusif ini penting bagi memastikan setiap reformasi yang dirangka bukan sahaja kukuh dari sudut perundangan, malah benar-benar berpaksikan kepentingan rakyat,” ujar beliau.

Turut hadir dalam pertemuan berkenaan ialah Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Datuk Zamri Misman; Peguam Cara Negara II, Datuk Seri Umar Saifuddin, serta pegawai-pegawai kanan daripada BHEUU, Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut Azalina, agenda Reformasi Kerajaan MADANI bukan sekadar dasar di atas kertas, sebaliknya merupakan satu usaha berterusan untuk membina sistem tadbir urus yang lebih adil, berintegriti dan diyakini rakyat.

“Reformasi ini adalah komitmen jangka panjang Kerajaan MADANI untuk memastikan sistem pentadbiran negara lebih berfungsi, adil dan dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta masa depan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO