GIATMARA Sambut Ulang Tahun Ke-40, Terus Jadi Tonggak TVET Negara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 12 Jan — GIATMARA menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-40 hari ini, menandakan empat dekad kejayaan dalam memperkasa ribuan anak muda melalui pendidikan dan latihan kemahiran berteraskan teknikal dan vokasional.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak ditubuhkan pada 12 Januari 1986, GIATMARA telah memainkan peranan penting sebagai antara institusi utama negara dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang berdaya saing dan berkeyakinan tinggi.

Menurut beliau yang juga Presiden UMNO, dalam landskap ekonomi semasa yang semakin mencabar dan didorong oleh kemajuan teknologi, peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini menjadi semakin kritikal.
“Alhamdulillah, GIATMARA sentiasa berada di barisan hadapan dalam menyediakan anak-anak Malaysia dengan kemahiran sebenar yang diperlukan oleh industri. Ini bukan sahaja membuka laluan kepada peluang pekerjaan berkualiti, malah menyokong keusahawanan dan meningkatkan mobiliti sosial,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.
Ahmad Zahid turut menyatakan rasa bangga terhadap keupayaan GIATMARA untuk kekal relevan dan terus berkembang seiring dengan keperluan semasa pasaran kerja.
Beliau berharap semangat dan pencapaian sepanjang 40 tahun penubuhan GIATMARA akan terus menjadi pemangkin kepada agenda TVET negara.
“Insya-Allah, saya mendoakan agar GIATMARA terus menjadi pemacu utama pembangunan TVET negara serta menyumbang kepada masa depan yang lebih cerah untuk generasi muda kita,” katanya lagi. – UMNO Online
