Johor Perkukuhkan Pendidikan Demi Masa Depan Rakyat – Aznan Tamin

KUALA LUMPUR, 14 Jan – Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa sektor pendidikan dan penerangan menerusi penyampaian Amanat Tahun 2026 kepada semua ketua jabatan dan agensi di bawah portfolio berkenaan.

Menurutnya, amanat tersebut menjadi penegasan hala tuju serta penyatuan tekad seluruh jentera pelaksana agar setiap perancangan yang telah digariskan dapat dilaksanakan secara tersusun, berfokus dan memberi impak tinggi kepada rakyat Johor.

“Belanjawan Negeri Johor 2026 mencatat sejarah apabila memperuntukkan jumlah tertinggi kepada sektor pendidikan dan penerangan, iaitu sebanyak RM176.265 juta, merangkumi 39 inisiatif yang meliputi pelbagai peringkat dan keperluan.

“Peruntukan besar itu bukan sekadar angka, tetapi komitmen besar kerajaan negeri dalam memperkasa ekosistem pendidikan serta memperkukuhkan penyampaian maklumat yang telus, berkesan dan menyeluruh kepada rakyat.

“Keutamaan yang diberikan ini mencerminkan keyakinan kerajaan negeri bahawa pendidikan adalah asas utama pembinaan Bangsa Johor masa hadapan. Pelaburan dalam ilmu, nilai, kemahiran dan penerangan yang tepat adalah kunci kepada masyarakat yang berdaya saing, berintegriti dan bersatu padu,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebooknya.

Mengulas lanjut, Aznan yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan peruntukan besar datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar, justeru tahun 2026 mesti menjadi tahun pelaksanaan dan pembuktian.

“Peruntukan yang besar datang bersama amanah dan tanggungjawab yang besar. Tahun 2026 mesti menjadi tahun pelaksanaan dan pembuktian.

“Rakyat hari ini tidak lagi menilai kita melalui pelan dan perancangan semata-mata, sebaliknya melalui hasil sebenar yang dapat dirasai, dilihat dan memberi manfaat langsung kepada kehidupan mereka,” ujarnya.

Beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, turut berharap agar segala perancangan, dasar, peruntukan dan pelaksanaan yang dibincangkan dipermudahkan serta dilaksanakan dengan penuh keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Johor.

“Semoga segala perancangan, dasar, peruntukan dan pelaksanaan yang dibincangkan hari ini dipermudahkan oleh Allah SWT, dipandu dengan keikhlasan serta dilaksanakan dengan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat dan masa depan Johor… Insya-Allah,” jelasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO