Bantuan Kasih Johor Bukan ‘Cash Is King’, Syed Hussien Tempelak Kritikan Pejuang Johor

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor mengambil pendekatan yang seimbang dengan membantu rakyat yang memerlukan, di samping membina asas ekonomi yang mampan untuk masa hadapan.

Tegas beliau, usaha ini bukan berlandaskan prinsip ‘cash is king’, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab, keprihatinan serta komitmen terhadap keadilan sosial.

Menerusi satu kenyataan di Facebooknya, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Johor akan terus mempertahankan dasar yang berpaksikan rakyat, bukan terperangkap dalam polemik politik yang terpisah daripada realiti sebenar di lapangan.

“Kenyataan Ketua Penerangan Pejuang Johor adalah simplistik, tidak adil dan gagal memahami kerangka sebenar dasar kebajikan Kerajaan Negeri Johor yang melabelkan pendekatan ini sebagai mengamalkan budaya ‘cash is king’ melalui pelaksanaan Bantuan Kasih Johor (BKJ).

“Pejuang Johor seharusnya menjelaskan kepada rakyat apakah alternatif konkrit yang mereka tawarkan. Mengkritik bantuan kebajikan tanpa cadangan yang realistik hanyalah retorik politik yang kosong dan tidak menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Syed Hussein yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang menjelaskan BKJ bukan dasar populis kosong, sebaliknya ia adalah bantuan bersasar kepada golongan benar-benar memerlukan dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar.

“Kerajaan Negeri Johor tidak pernah menjadikan bantuan tunai sebagai satu-satunya solusi, tetapi sebagai intervensi segera bagi meringankan beban rakyat sementara pelbagai agenda pemerkasaan ekonomi dilaksanakan secara berperingkat.

“Dakwaan bahawa bantuan tunai mewujudkan kebergantungan adalah naratif klise pembangkang yang gagal menawarkan penyelesaian realistik. Hakikatnya, rakyat tidak meminta untuk bergantung, mereka meminta kerajaan hadir ketika mereka terhimpit,” katanya lagi.

Tegasnya, adalah tidak bertanggungjawab untuk bercakap soal teori jangka panjang tanpa mengambil kira realiti semasa kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor tidak mengabaikan pengurusan fiskal seperti yang didakwa, lebihan fiskal negeri telah dan sedang digunakan secara berimbang.

“Ia adalah untuk pembangunan infrastruktur strategik; penjanaan pelaburan berkualiti; pembukaan peluang pekerjaan; sokongan kepada usahawan kecil dan belia dan serta agenda perumahan dan kebajikan rakyat,” jelasnya.

Ujarnya, BKJ hanyalah satu komponen kecil dalam ekosistem dasar ekonomi Johor yang lebih besar dan menyeluruh. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO