​PRK Kinabatangan, Lamag: BN Pertaruh Calon Muda Teruskan Khidmat Bakti Bung Moktar

KOTA KINABALU, 11 Jan – Barisan Nasional (BN) Sabah optimis untuk mengekalkan dominasi di Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag dengan mempertaruhkan gandingan calon muda bagi meneruskan legasi kepimpinan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

​Setiausaha UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, menyatakan bahawa proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan lancar dengan sokongan penuh daripada komponen Kerajaan Perpaduan termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).

BN menampilkan Mohd Naim Kurniawan Moktar dan Mohd Ismail Ayob (Miha) sebagai calon bagi kedua-dua kerusi tersebut.

Menurut Samasuddin, pemilihan calon muda ini adalah langkah strategik yang diyakini mampu membawa impak positif dalam usaha memastikan kesinambungan khidmat bakti Allahyarham Bung Moktar.

Beliau turut mengharapkan agar momentum peratusan keluar mengundi yang tinggi di kubu kuat BN itu dapat dikekalkan dan kemenangan di Kinabatangan dan Lamag adalah kunci kepada kestabilan Kerajaan Perpaduan Madani di peringkat pusat dan Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri.

​”Saya mohon pengundi di Kinabatangan dan Lamag lebih matang dan tahu calon mana yang benar-benar boleh membawa kebaikan serta kebajikan untuk dibawa ke peringkat Parlimen dan DUN Sabah,” ujar beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag. Manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan pencabar dari Warisan, Mazliwati Abdul Malek.

Manakala pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mempertahankan kerusi DUN Lamag selepas menang dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO