Berikan Kepercayaan Kepada Naim Dan Miha, Calon Muda Dan Mampu Berkhidmat – Ahmad Maslan
KINABATANGAN, 10 Jan — Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyeru rakyat agar memberikan sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, dan calon BN bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayob (Miha) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal berlangsung pada 24 Januari ini.
Beliau mengingatkan seluruh jentera agar tidak terlalu yakin sebaliknya terus bekerja keras bagi memastikan kemenangan BN di kedua-dua kawasan itu.
“Calon kita Naim dan Miha, kita harap rakyat berikan sokongan penuh. Jangan terlalu yakin, jangan sambil lewa kerana pihak lawan, Warisan, juga meletakkan calon yang tidak kurang hebat. Oleh itu, seluruh jentera mesti berpadu dari bahagian, cawangan, Pemuda, Wanita, Puteri, Veteran, MIHA, serta parti-parti komponen semua perlu bergerak sebagai satu pasukan,” katanya.
Terdahulu beliau turut mengiringi kedua-dua calon BN berkenaan ke pusat penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini yang turut disertai pimpinan BN Sabah yang lain.
Ahmad turut menjelaskan bahawa rakyat perlu membuat pilihan yang bijak dengan menyokong BN yang kini sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah, bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.
“Kenapa Kinabatangan perlu beri kepercayaan kepada Barisan Nasional? Kerana BN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah. Kalau kita menyokong Parti Warisan, kita akan jadi pembangkang,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di Kinabatangan perlu diteruskan, sejajar dengan legasi kepimpinan yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Kita mahu memastikan pembangunan di kawasan ini tidak terhenti. Naim dan Miha akan meneruskan legasi dan jasa besar yang telah ditinggalkan oleh Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk rakyat Kinabatangan dan Lamag,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag. Manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan pencabar dari Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Manakala pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mempertahankan kerusi DUN Lamag selepas menang dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru. – UMNO Online
