PRK Kinabatangan, Lamag: BN Terus Jadi Kepercayaan Rakyat, Aspirasi Masyarakat Keutamaan – Amar Izzuden
KUALA LUMPUR, 12 Jan – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bukan sekadar medan pertarungan calon, sebaliknya menjadi penentu kepada kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.
Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bukit Bintang, Amar Izzuden Hamidun berkata, PRK tersebut merupakan ukuran sebenar tahap kepercayaan rakyat terhadap komitmen Barisan Nasional (BN) dalam menjamin kestabilan politik, pembangunan setempat dan kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, penampilan calon yang berkaliber serta memahami aspirasi rakyat diyakini mampu memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap keupayaan BN untuk terus melaksanakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
“BN tampil dengan menawarkan calon dari kalangan orang muda yang berwibawa, berpengalaman dan dekat dengan rakyat. Dengan rekod kepimpinan yang dimiliki, mereka bukan sahaja memahami kehendak masyarakat setempat, malah berupaya menjadi penghubung berkesan antara keperluan rakyat dengan agenda pembangunan parti.
“Lebih penting, PRK Kinabatangan dan Lamag merupakan ujian sebenar keupayaan BN mempertahankan mandat rakyat, bukan melalui retorik semata-mata tetapi berdasarkan rekod pentadbiran, kestabilan politik serta keprihatinan terhadap kebajikan dan masa depan masyarakat setempat,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, kemenangan di kedua-dua kawasan tersebut bakal mengukuhkan kedudukan BN serta menjadi isyarat jelas bahawa rakyat masih menaruh keyakinan terhadap parti itu untuk terus memperjuangkan kepentingan mereka.
Mengulas lanjut, Amar Izzuden menegaskan bahawa seluruh jentera parti perlu menggandakan usaha dan bekerja secara menyeluruh bagi memastikan kemenangan BN dalam PRK berkenaan.
“Jentera parti di semua peringkat perlu bangkit, bergerak secara agresif, berdisiplin serta bersatu padu sepenuhnya. Tiada ruang untuk kelalaian atau perpecahan kerana setiap undi menjadi penentu masa depan Kinabatangan dan Lamag.
“Kekuatan sebenar BN terletak pada kesepaduan jentera akar umbi yang sentiasa dekat dengan rakyat, memahami denyut nadi serta keperluan setempat,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan pendekatan berterusan dalam menyantuni rakyat, penyampaian mesej yang jelas serta keupayaan menangkis naratif lawan secara tersusun bagi memastikan sokongan rakyat terus berpihak kepada BN.
Dalam pada itu, Amar Izzudeen berharap calon BN bukan sahaja mampu mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan, malah mencatat peningkatan undi yang signifikan.
“Harapan tinggi disandarkan agar BN bukan sekadar mempertahankan kemenangan, tetapi turut mencatat peningkatan sokongan sebagai bukti keyakinan padu rakyat terhadap hala tuju serta agenda yang dibawa,” ujarnya. – UMNO Online
