PRK Kinabatangan, Lamag: Calon BN Berkaliber, Memahami Erti Perjuangan – Jasnizam Husni
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Langkah Barisan Nasional (BN) menampilkan dua calon anak muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dilihat sebagai satu strategi matang, menekankan calon yang berkaliber, berpengalaman serta sangat memahami erti perjuangan sebenar.
Naib Ketua UMNO Negeri Kedah, Muhamad Jasnizam Muhamad Husni berkata, pemilihan calon ini menunjukkan kesungguhan BN untuk melakukan pembaharuan yang berpaksikan kekuatan akar umbi.
“Pemilihan calon ini jelas mencerminkan kesungguhan BN untuk melakukan pembaharuan berasaskan kekuatan akar umbi, bukan sekadar wajah baharu tetapi individu yang telah teruji, berdisiplin dan memahami denyut nadi rakyat setempat.
“Saya percaya gabungan pengalaman, idealisme dan kefahaman terhadap nilai perjuangan BN yang ada pada kedua-dua calon ini mampu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa BN terus relevan, inklusif dan bersedia memimpin dengan lebih baik.
“Semoga kempen PRK ini berjalan dengan harmoni dan berhemah, serta memberi ruang kepada rakyat untuk menilai calon berdasarkan kualiti, integriti dan kemampuan berkhidmat, bukan sentimen sempit,” katanya kepada UMNO Online.
Jasnizam yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, menjelaskan bahawa golongan anak muda bukan sekadar pelapis tetapi pemimin yang berani memikul amanah dan mampu menyampaikan aspirasi generasi muda.
“Anak muda hari ini bukan lagi pelapis semata-mata, tetapi pemimpin masa kini yang berani memikul amanah, berfikiran jauh dan mampu menjadi jambatan antara aspirasi generasi muda dengan realiti pembangunan setempat.
“Inilah pendekatan politik matang yang perlu diketengahkan iaitu politik khidmat, bukan retorik. Saya mendoakan kejayaan BN memenangi PRK Kinabatangan dan Lamag serta menyeru seluruh jentera untuk terus bekerja kuat, berpadu dan mendekati rakyat dengan keikhlasan,” jelasnya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan BN yang diwakili oleh Mohd Naim Kurniawan Moktar, Warisan dan seorang calon Bebas.
Bagi DUN Lamag diwakili oleh Mohd Ismail Ayob atau Miha yang menyaksikan dua penjuru antara calon BN dan Warisan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK), Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag. Manakala tarikh mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, pada 5 Disember lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi menewaskan pencabar dari Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Manakala pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang berlangsung pada 29 November lalu, bekas Pengerusi Barisan Nasional Sabah itu mempertahankan kerusi DUN Lamag selepas menang dengan majoriti tipis 153 undi dalam persaingan enam penjuru. – UMNO Online
