Keputusan AGC Tidak Ambil Tindakan Lanjut Terhadap Zahid Wajar Dihormati – UMNO Johor

JOHOR BAHRU, 10 Jan – UMNO Johor menegaskan bahawa keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak mengambil tindakan lanjut atau No Further Action (NFA) terhadap kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, wajar dihormati oleh semua pihak selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang selepas siasatan lanjut dan penilaian menyeluruh dijalankan mengikut kerangka perlembagaan serta perundangan negara.

“Keputusan ini merupakan satu penentuan rasmi hasil proses siasatan dan penelitian yang berpanjangan oleh pihak berkuasa berkaitan, sekali gus menandakan penutupan prosiding yang telah melalui pelbagai peringkat penelitian,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal ini.

Menurut beliau, sepanjang tempoh siasatan, Ahmad Zahid telah memberikan kerjasama sepenuhnya serta mematuhi semua keperluan perundangan yang ditetapkan, sekali gus mencerminkan penghormatan terhadap institusi kehakiman dan keyakinan terhadap proses undang-undang negara.

Md Israk menegaskan bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan dalam bentuk pertikaian terhadap keputusan institusi perundangan yang berfungsi secara bebas dan profesional.

“UMNO Johor melihat keputusan AGC ini sebagai penting dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat terhadap proses keadilan negara serta memastikan perbahasan awam kekal rasional, berfakta dan bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa polemik berpanjangan hanya akan menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi negara serta menjejaskan keharmonian politik dan sosial.

Sehubungan itu, UMNO Johor menyeru semua pihak agar menghormati keputusan yang telah dibuat dan bergerak ke hadapan secara matang serta konstruktif demi kestabilan politik, keharmonian masyarakat dan kepentingan negara secara keseluruhan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO