UMNO Lahad Datu Kekal Komited Bersama Kerajaan Perpaduan, Perkukuh Gerak Kerja

LAHAD DATU – UMNO Bahagian Lahad Datu menegaskan pendirian untuk terus kekal komited bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal, selaras dengan ketegasan pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang menolak sebarang amalan ‘tebuk atap’.

Ketua Bahagiannya, Sharif Musa Sharif Mabul, berkata pendirian tersebut dizahirkan dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Lahad Datu, sebagai sokongan penuh terhadap kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“UMNO Lahad Datu berdiri teguh mempertahankan kestabilan politik negara dan kekal setia bersama kerajaan sedia ada demi kepentingan rakyat serta pembangunan negara,” katanya.

Dalam mesyuarat itu, UMNO Bahagian Lahad Datu turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Dr Anil Sandhu atas kejayaan memenangi kerusi DUN Kunak serta pelantikan beliau sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Bagi memperkukuh jentera parti, Sharif Musa memaklumkan bahawa UMNO Bahagian Lahad Datu akan memberi tumpuan sepenuhnya membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan seperti yang ditugaskan oleh UMNO Sabah, melibatkan PDM Litang, sehingga selesai.

Ujarnya, seiring usaha memperkemaskan organisasi parti, mesyuarat turut memutuskan untuk mengemaskini jawatan biro-biro serta penyelaras DUN bagi memperkukuh gerak kerja UMNO di peringkat akar umbi selain bantuan permohonan ditangguhkan sementara sehingga PRK Kinabatangan.

Selain itu, mesyuarat terbabit turut membincangkan kehadiran ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang bermula 14 Jan sebagai tanda komitmen berterusan dalam memperkukuh perjuangan parti.

“UMNO Lahad Datu menegaskan bahawa kekuatan parti, kesetiaan kepada kepimpinan dan kestabilan politik adalah asas utama dalam memastikan UMNO terus relevan serta diyakini rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO