Pendakwaan Politik Berakhir, AGC Klasifikasi Kes Ahmad Zahid Sebagai NFA – Asna Amin
KUALA LUMPUR, 10 Jan – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan sebarang tindakan lanjut atau No Further Action (NFA) terhadap 47 pertuduhan yang dihadapi Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkaitan dana Yayasan Akalbudi.
Timbalan Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, Datuk Mohd Asna Amin, berkata keputusan itu sekali gus menamatkan perbicaraan kes yang telah berlarutan hampir tujuh tahun dan melibatkan pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah serta pengubahan wang haram terhadap Presiden UMNO itu.
Menurut beliau, kes tersebut sebelum ini telah melalui peringkat perbicaraan penuh dan mahkamah telah memanggil Zahid untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

“Sepanjang perbicaraan, pihak peguam bela telah mengemukakan enam representasi kepada Jabatan Peguam Negara dengan mengemukakan alasan-alasan serta hujahan sokongan. Representasi terakhir akhirnya diterima dan AGC memutuskan kes ini diklasifikasikan sebagai NFA,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata keputusan tersebut membuktikan bahawa pendakwaan terhadap Zahid sebelum ini adalah bermotifkan politik dan dibuat secara tergesa-gesa tanpa asas bukti yang kukuh.
“Selama tujuh tahun beliau turun naik mahkamah. Akhirnya kebenaran menang. Pendakwaan ini diwujudkan oleh pemimpin buas yang memerintah negara selama 22 bulan, yang mengamalkan ‘pendakwaan dahulu, siasatan kemudian’ dengan niat untuk menekan, menyusahkan, memenjarakan dan merosakkan imej Datuk Seri Ahmad Zahid,” katanya.
Beliau turut mendakwa pendakwaan itu berpunca daripada keengganan Zahid untuk menuruti desakan pihak tertentu supaya UMNO dibubarkan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Disebabkan Zahid mempertahankan prinsip dan parti, beliau dibalas dengan pendakwaan yang terburu-buru sehingga gagal dibuktikan di mahkamah. Namun beliau tetap berani mempertaruhkan diri, mempertahankan UMNO walaupun terpaksa berhadapan dengan risiko dipenjarakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban mendedahkan bahawa pada tahun 2018, satu memo dalaman rasmi Jabatan Peguam Negara yang disediakan oleh unit khas bahagian pendakwaan dan ditujukan kepada Peguam Negara ketika itu telah mencadangkan supaya tiada pertuduhan dibuat terhadap Zahid.
Memo berkenaan menyatakan bahawa berdasarkan keterangan sedia ada, bukti yang diperoleh tidak mencukupi untuk membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001, walaupun pada peringkat prima facie.

Menurut beliau, kes tersebut berlarutan lama kerana wujud pihak tertentu yang berhasrat untuk memenjarakan Zahid sebagaimana yang berlaku kepada Datuk Seri Najib Razak.
“Namun Allah SWT Maha Berkuasa. Datuk Seri Zahid tidak dipenjarakan, sebaliknya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan kini menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Yayasan Akalbudi merupakan yayasan milik Zahid sendiri yang didaftarkan secara sah, dan dana yang dimasukkan ke dalam yayasan berkenaan adalah hasil keuntungan perniagaan, bukannya wang awam.
“Keputusan NFA ini membuktikan bahawa beliau telah dianiaya. Mereka yang terlibat dalam usaha menzalimi beliau perlu dipertanggungjawabkan,” katanya. – UMNO Online
