Jangan Diperangkap Persepsi, Sistem Keadilan Buktikan Ahmad Zahid Tidak Bersalah
KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Abdul Halim Suleiman berharap rakyat tidak lagi terperangkap dengan persepsi negatif terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurut beliau ia selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan yang dihadapi Ahmad Zahid.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negara berkata ini kerana pihak berkuasa perundangan telah membuat keputusan berdasarkan fakta dan proses bukan sentimen.
“Ia bukan sekadar satu keputusan perundangan, tetapi penamat kepada satu perjalanan panjang yang penuh ujian.
“Tiga tahun turun naik mahkamah bukan satu tempoh yang pendek untuk menanggung tekanan politik dan persepsi awam, akhirnya kebenaran menampakkan wajahnya.
“Apa yang penting untuk dicatat, Zahid tidak pernah lari, tidak bersembunyi dan tidak mencari jalan mudah. Beliau tak gentar tampil ke hadapan, berdepan proses mahkamah secara terbuka kerana prinsip yang jelas, berani kerana benar dan mahu membersihkan nama yang tercalar akibat pendakwaan yang sarat dengan unsur politik.
“Seharusnya, selepas keputusan ini, rakyat tidak lagi terperangkap dengan persepsi negatif terhadap Zahid. Sistem keadilan telah membuktikan beliau tidak bersalah” katanya menerusi satu kenyataan.
Mengulas lanjut beliau juga turut menyeru semua pihak untuk berlapang dada dan berjiwa besar menerima keputusan ini kerana hakikatnya Ahmad Zahid adalah mangsa pendakwaan politik yang bertujuan melemahkan parti.
Menurut Abdul Halim ini kerana pihak lawan politik tetap akan memainkan sentimen bahawa keputusan ini kononnya dipengaruhi oleh kuasa tertentu.
“Itu skrip lama. Hakikatnya, kedaulatan undang-undang telah bercakap.
“Menariknya, keputusan itu berlaku pula pada zaman Kerajaan Perikatan Nasional. Hakikat ini membuktikan satu perkara yang sering dinafikan oleh pihak tertentu keputusan mahkamah di negara ini tidak ditentukan oleh siapa yang memerintah,” ujar beliau.
Terdahulu AGC pada semalam memutuskan NFA terhadap 47 pertuduhan rasuah berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Ahmad Zahid.
AGC dalam satu kenyataan berkata keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan. – UMNO Online
