Kes Ahmad Zahid: Keputusan Undang-Undang Muktamad Wajib Dihormati

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, Ahmad Solehin Abd Ghani berpandangan bahawa keputusan undang-undang yang telah muktamad wajib dihormati oleh semua pihak.

Ini kerana katanya, keputusan Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) akan diambil berhubung kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menoktahkan secara muktamad segala tuduhan yang telah lama dilemparkan.

“Saya mengambil maklum Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara bertarikh 8 Januari 2026 yang secara jelas memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut (No Further Action) akan diambil berhubung kes melibatkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, selepas siasatan lanjut dan terperinci dijalankan.

“Keputusan ini menoktahkan secara muktamad segala tuduhan telah lama dilemparkan, setelah melalui proses perundangan yang panjang, menyeluruh dan berasaskan penilaian profesional serta undang-undang,” katanya menerusi satu kenyataan.

Jelasnya, keputusan tersebut membuktikan bahawa tuduhan yang disabitkan terhadap Ahmad Zahid itu lebih didorang oleh motif politik.

“Hakikatnya, keputusan ini turut membuktikan bahawa pertuduhan yang dibina selama ini gagal disokong oleh asas dan bukti yang kukuh, dan tidak memenuhi keperluan undang-undang untuk diteruskan.

“Keadaan ini menguatkan persepsi bahawa tuduhan tersebut lebih didorong oleh motif politik, bukannya berteraskan fakta dan keterangan yang meyakinkan.

“Sistem keadilan negara akhirnya menunjukkan bahawa kebenaran tidak boleh ditentukan oleh tekanan politik, sentimen awam atau persepsi, sebaliknya hanya melalui fakta, bukti dan proses undang-undang yang sah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak terus mempertikaikan keputusan tersebut.

“Sehubungan itu, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak terus mempertikaikan, memutar belit atau mempersoalkan keputusan ini demi kepentingan politik sempit, sehingga mencemarkan integriti institusi perundangan dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara.

“Saya menyeru semua pihak agar berlapang dada menerima keputusan ini, menghormati kedaulatan undang-undang dan menghentikan polemik berpanjangan yang hanya akan memecah-belahkan masyarakat dan melemahkan perpaduan negara.

“Perbezaan pandangan politik adalah lumrah dalam demokrasi, namun keputusan undang-undang yang muktamad wajib dihormati oleh semua, demi keadilan, kestabilan dan masa depan negara,” katanya lagi.

Pada Khamis media melaporkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 pertuduhan rasuah berkait dana Yayasan Akalbudi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

AGC dalam satu kenyataan, berkata keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes berkenaan.

Menurutnya, ia selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

Katanya, keputusan diambil berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO