Ahmad Zahid, Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Ali Umar Bincang Masa Depan Al-Quds, Nasib Palestin

KUALA LUMPUR, 9 Jan – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Imam Masjid Al-Aqsa Sheikh Ali Umar Yaqoub Abbasi, mengadakan perbincangan mengenai masa depan Masjid Al-Aqsa dan Al-Quds di Putrajaya.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di laman Facebook berkata, perbincangan itu diadakan semasa beliau menerima kunjungan Sheikh Ali Umar di pejabatnya.

Beliau dan tokoh agama dari Baitulmaqdis itu turut menyentuh mengenai keprihatinan Malaysia terhadap nasib rakyat Palestin.

“Semoga Allah SWT memberkati setiap usaha kita dan menguatkan tekad kita untuk terus berdiri bersama saudara-saudara kita di Palestin dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran itu.

Sheikh Ali Umar pada Isnin lalu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kompleks Seri Perdana yang turut disertai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Dr Zulkifli Hasan. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO