Pastikan Anak-Anak Perak Berkemahiran… Usaha Perkukuh TVET Giat Dilaksana

KUALA LUMPUR, 8 Jan – Untuk memastikan anak-anak Perak dibekalkan kemahiran yang relevan, kerajaan negeri giat berusaha bagi memperkukuhkan TVET, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Majlis TVET Negeri Perak pada Rabu.

“Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Majlis TVET Negeri Perak pada Rabu. Mesyuarat ini memfokuskan usaha memperkukuh agenda TVET Perak, termasuk penambahbaikan dasar, penyelarasan latihan kemahiran dan pengukuhan kerjasama antara agensi, institusi latihan serta industri.

“Matlamatnya jelas. Kita nak pastikan anak-anak Perak dibekalkan kemahiran yang relevan, berdaya saing dan seiring keperluan pasaran kerja semasa.

“Sekali gus, ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan sosioekonomi rakyat.

“Mudah-mudahan segala perancangan dirangka dapat dilaksanakan dengan berkesan demi masa depan tenaga kerja Perak yang lebih mampan dan sejahtera.
Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Untuk rekod, TVET Perak telah memperoleh pelbagai pencapaian yang sangat memberangsangkan, menjadikannya ia sebagai koridor TVET negara.

Tumpuan diberikan kepada kemahiran automotif seperti kenderaan elektrik (EV), industri dan keusahawanan. Ia telah dibuktikan melalui pelbagai program seperti Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) yang berjaya melahirkan usahawan kompeten dengan pendapatan beranggaran RM5,000 sebulan.

Ini termasuk graduan TVET yang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui program Malaysia-China Youth Talent Training (MCYTT). Program ini melatih belia dalam industri EV.

Perak juga memperkasa institusi sedia ada iaitu Politeknik Ungku Omar (PUO) untuk TVET dengan menawarkan latihan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas untuk memacu ekonomi serta kemahiran tinggi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO