PRK Kinabatangan, Lamag: BN Komited Lahirkan Pemimpin Pelapis Muda – Rushamizan
TAWAU, 8 Jan – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebagai satu isyarat jelas bahawa Barisan Nasional (BN) komited dalam melahirkan pemimpin pelapis anak muda yang berkaliber, berprinsip dan memahami perjuangan sebenar parti.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tawau, Rushamizan Rustam berkata, BN menampilkan dua calon anak muda, iaitu Mohd Naim Kurniawan Moktar bagi Parlimen Kinabatangan dan Mohd Ismail Ayob (Miha) bagi DUN Lamag.
Katanya, kedua-dua tokoh ini bukan sekadar mewakili faktor usia, tetapi membawa pengalaman lapangan, kefahaman akar umbi serta disiplin perjuangan yang selari dengan aspirasi rakyat.
“Dalam konteks Parlimen Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar bukan sahaja menyambung legasi perjuangan Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, malah berhasrat membawa pembaharuan dari sudut pendekatan khidmat rakyat dan pengurusan isu setempat.
“Antara fokus utama ialah memperkukuh peluang ekonomi rakyat, pemerkasaan belia dan pendidikan, serta mempercepat penyampaian perkhidmatan melalui pendekatan yang lebih tersusun, telus dan responsif terhadap keperluan semasa.
“Bagi DUN Lamag pula, Mohd Ismail Ayob membawa nafas baharu melalui pendekatan politik khidmat yang lebih dekat dengan rakyat, khususnya dalam menyelesaikan isu harian seperti kebajikan komuniti, peluang pekerjaan tempatan dan pembangunan infrastruktur asas,” katanya kepada UMNO Online.
Tambah beliau, pembaharuan yang dibawa bukan bersifat retorik, tetapi berteraskan keberanian menyuarakan masalah rakyat serta kesediaan turun padang secara konsisten, selari dengan kehendak masyarakat setempat.
“Pembaharuan yang dibawa oleh kedua-dua calon ini turut memberi penekanan khusus kepada agenda anak muda, termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET), keusahawanan serta penglibatan belia dalam arus pembangunan dan pembuatan keputusan di peringkat setempat,” katanya.
Rushamizan berkeyakinan Pemuda UMNO akan terus menyokong kepimpinan masa hadapan iaitu bukan sekadar pewaris perjuangan, tetapi agen perubahan yang matang.
“Kami yakin bahawa anak muda BN bukan sekadar pewaris perjuangan, tetapi agen perubahan yang matang, berakar pada perjuangan, progresif dalam pendekatan dan bersedia memimpin masa hadapan demi kepentingan rakyat.
“Pemuda UMNO melihat gabungan legasi perjuangan, idealisme anak muda dan pembaharuan berfokuskan penyelesaian masalah sebagai formula terbaik untuk memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pembangunan, khususnya di Sabah,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 24 Januari 2026 sebagai tarikh mengundi bagi PRK dengan hari mengundi awal pula akan diadakan pada 20 Januari 2026, manakala tarikh penamaan calon pada 10 Januari ini.
PRK ini diadakan susulan penyandangnya, Allahyarham Datuk Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember lalu. – UMNO Online
