PRK Kinabatangan, Lamag: Semoga Allah Kurniakan Kekuatan, Kemenangan

KUALA LUMPUR, 6 Jan – Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berharap agar Allah mengurniakan kekuatan dan kemenangan untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Noraini memaklumkan beliau telah menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK Kinabatangan dan Lamag pada Isnin.

“Saya berkesempatan menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Induk PRK Kinabatangan dan Lamag yang berlangsung di aras 39, Menara Dato’ Onn. Mesyuarat penting ini dipengerusikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam suasana yang tertib dan penuh tumpuan terhadap strategi serta kesiapsiagaan jentera parti.

“Turut bersama ialah barisan kepimpinan UMNO Sabah yang diketuai oleh Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, menzahirkan kesepaduan dan komitmen berterusan dalam memastikan gerak kerja PRK berjalan dengan tersusun serta berkesan,” katanya.

Ujarnya, denyut perjuangan dan harapan yang dipikul bersama adalah untuk meneruskan legasi berbakti kepada rakyat di kawasan tersebut.

”Menjelang Hari Penamaan Calon bagi PRK Parlimen P.187 Kinabatangan dan PRK DUN N.58 Lamag, yang dijadualkan pada Sabtu ini, 10 Januari 2026, terasa jelas denyut perjuangan dan harapan yang dipikul bersama.

“Setiap perbincangan bukan sekadar soal strategi, tetapi juga amanah besar kepada rakyat. Doa dan harapan dizahirkan buat calon-calon BN, Mohd Ismail Ayob (MIHA) sebagai calon BN bagi DUN Lamag, serta Mohd Naim Kurniawan Moktar bagi Parlimen Kinabatangan.

“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan, ketenangan dan seterusnya kemenangan kepada calon-calon kita, agar dapat terus berbakti dengan penuh keikhlasan buat warga Lamag serta Kinabatangan. Insya-Allah,” katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah pada 24 Jan 2026.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 10 Jan dan 20 Jan.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Dis lepas di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada PRN Sabah Ke-17 yang diadakan 29 Nov lepas, Bung Moktar, 66, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Kerusi DUN Lamag dipertandingkan buat pertama kali semasa PRN ke-16 pada 2020.
Sementara itu, semasa Pilihan Raya Umum Ke-10 iaitu pada November 1999, Bung Moktar memenangi kerusi Parlimen Kinabatangan dan telah berkhidmat sebagai wakil rakyat kawasan itu selama enam penggal. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO