Hujung Minggu Bersama Rakyat, Johari Bantu Persekolahan Anak-anak Titiwangsa

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berbesar hati menyantuni masyarakat setempat menerusi penyampaian sumbangan keperluan persekolahan kepada para pelajar di sekitar kawasan Parlimen Titiwangsa.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata inisiatif tersebut dilaksanakan bersempena cuti persekolahan sebagai usaha membantu meringankan beban kewangan ibu bapa, khususnya dalam membuat persediaan awal sebelum sesi persekolahan bermula.

“Sempena cuti persekolahan ini, saya mengambil peluang untuk menyampaikan sumbangan keperluan persekolahan kepada 8,000 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang menetap di sekitar kawasan Kampung Datuk Keramat dan Kampung Pandan.

“Semoga bantuan kecil ini dapat meringankan beban ibu bapa serta memberi motivasi kepada anak-anak Parlimen Titiwangsa dalam memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat. Insya-Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran berbeza, Johari turut sama berkongsi kemeriahan program potong rambut percuma yang dianjurkan khas buat kanak-kanak di Kampung Bharu sebagai sebahagian daripada aktiviti hujung minggu beliau bersama masyarakat setempat.

“Macam biasa, hujung minggu wajib luang masa di Parlimen Titiwangsa. Kali ini berkesempatan ke program potong rambut percuma bagi anak-anak Kampung Bharu.

“Sempat bergurau dengan mereka tapi susah juga hendak potong rambut ni sebenarnya,” ujar beliau.

Sementara itu, Johari memaklumkan jumlah penerima sumbangan keperluan persekolahan di Parlimen Titiwangsa kini telah melebihi 10,000 orang, melibatkan beberapa kawasan utama termasuk Kampung Datuk Keramat, Kampung Pandan dan Kampung Bharu.

Beliau turut menegaskan komitmennya untuk terus mendekati rakyat serta memastikan bantuan disalurkan secara berterusan agar kebajikan penduduk di Parlimen Titiwangsa sentiasa terbela.

“Setelah menyampaikan sumbangan keperluan persekolahan bagi penduduk Kampung Datuk Keramat dan Kampung Pandan, kali ini tiba di kawasan Kampung Bharu. Jumlah keseluruhan kini telah mencecah lebih 10,000 penerima.

“Semoga sumbangan wang ini dapat meringankan sedikit beban keluarga dan menjadi penyuntik semangat, terutamanya bagi mereka yang berusaha gigih demi mengubah nasib keluarga,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO