Mohd Jafni Santuni Penduduk Felda Taib Andak, Sokong Ekonomi Tempatan
JOHOR BAHRU, 5 Jan – Exco Kerajaan Negeri Johor, Mohd Jafni Md Shukor, telah mengadakan ‘walkabout’ bersama penduduk Felda Taib Andak, dalam usaha mendekati masyarakat secara langsung dan menyantuni kehidupan seharian mereka.
Ujarnya, lawatan yang berlangsung secara santai itu bukan sekadar berjalan menyusuri deretan kedai, tetapi juga menjadi platform untuk mendengar keluhan, berkongsi cerita, dan mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan rakyat.

“Langkah kecil ini membawa makna besar. Kehadiran pimpinan turun ke lapangan jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk sentiasa bersama masyarakat dan memahami denyut nadi mereka secara dekat,” katanya.
Dalam kesempatan itu, Mohd Jafni turut membeli makanan di kedai-kedai tempatan serta menyumbang barangan keperluan asas, bagi meringankan beban penduduk serta menyokong ekonomi setempat.
Jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Bukit Permai, langkah susulan turut digerakkan dan bermula Januari ini, sumbangan barangan asas akan ditempah setiap bulan dari kedai runcit Felda Taib Andak bagi membantu rakyat sambil menghidupkan ekonomi tempatan.
Selain itu katanya, perhatian turut diberikan kepada rumah ilmu dan ibadah, termasuk sokongan untuk kelas mengaji bagi memastikan ia terus subur, selesa, dan menjadi tempat membina akhlak generasi muda.
Mohd Jafni menekankan bahawa hubungan yang terjalin sepanjang program ini tidak mengenal latar belakang, pangkat atau perbezaan.
“Kita duduk semeja, makan bersama, berbual santai dan ketawa dalam satu keluarga besar. Inilah nilai sebenar kebersamaan ukhuwah,” katanya.
Jelas beliau, Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besarnya, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

“Kehadiran pimpinan turun ke lapangan jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk sentiasa bersama masyarakat dan memahami denyut nadi mereka secara dekat. Diharapkan inisiatif seperti ini dapat mengukuhkan hubungan silaturahim, menambah kepercayaan rakyat serta mempercepat usaha menyantuni keperluan dan permasalahan setempat.
“Dalam apa jua keadaan, kita akan terus berdiri teguh bersama rakyat, saat diuji mahupun ketika menikmati kesejahteraan.
“Terima kasih warga Felda Taib Andak atas sambutan yang tulus dan doa yang tidak putus. Selagi diberi amanah, saya akan terus turun padang, mendengar dan bertindak. Kerana kepimpinan bukan tentang berada di hadapan, tetapi berjalan bersama rakyat dalam susah dan senang, sebagai satu keluarga,” ujarnya lagi. – UMNO Online
