Johor Tubuh Jawatankuasa Teknikal Pusat Data, Bincang Isu Air Dan Elektrik

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh memaklumkan, Johor merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mewujudkan satu jawatankuasa teknikal bagi permohonan pusat data.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Pasir berkata jawatankuasa itu dianggotai oleh semua jabatan dan agensi teknikal di peringkat kerajaan negeri dan pusat yang menentukan kebolehlaksanaan pusat data khususnya jika melibatkan elektrik dan air selain isu utilliti dan zoning.

“Ramai yang risau perkembangan pusat data di negeri Johor. Ini disebabkan, mengikut kefahaman kita, pusat data menggunakan jumlah air yang banyak bagi menyejukkan perkakasan mereka dan ini boleh menjejaskan kapasiti air terawat yang kita ada.

“Bagi isu air, soalan yang akan ditanya oleh jawatankuasa kepada pemaju pusat data ialah apakah Water Usage Effecency (WUE) yang digunakan? Berapa jumlah air yang diperlukan bagi keseluruhan pembangunan pusat data?

“Johor telah menetapkan bahawa prasyarat WUE yang dibenarkan ialah dibawah 1.8 iaitu standard yang sama seperti di Singapura. Meskipun pusat data memiliki WUE di bawah 1.8, kebenaran tetap bergantung kepada kecukupan air,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Katanya lagi, banyak teknologi yang menggunakan WUE di bawah 1.8 seperti Immersion Cooling ( Single-/Two-Phase) dan Direct-to-chip Liquid Cooling (DCD) yang memiliki WUE antara 0.05 – 02.

Menurut beliau terdapat juga teknologi penyejukan yang langsung tidak memerlukan air seperti Chilled Water + CRAH (Chiller berasaskan udara/ Dry Coolers), DX CRAC (Penyejukan Udara) dan In – Row/ Close – Coupled Air.

“Jika perlu air sekalipun, hanya untuk kegunaan seperti tandas dan dapur. Namun begitu, sekiranya pusat data masih memerlukan air sebagai medium penyejukan server mereka, jawatankuasa akan mengarahkan konsutan pusat data untuk mempertimbangkan sumber air lain selain air terawat yang sedia ada.

“Biasanya sumber air yang digunakan oleh pusat data ini ialah air terawat kerana loji rawatan dan sistem perpaipan telahpun tersedia. Bagi kes tertentu, pihak pusat data akan diminta untuk menggunakan air pulih guna yang dirawat daripada Lori Rawatan Kumbahan ke Loji Rawatan Pulih Guna. Contoh Pusat Data yang menggunakan sumber air pulih guna ini ialah Bridge Data Centres (BDC) dan Computility Technology (Malaysia).

“Ada juga pusat data yang diminta untuk berkolaborasi bersama Johor Special Water (JSW) bagi membekalkan mereka air alternatif yang boleh digunakan oleh “cooling tower” mereka tanpa mengganggu sumber air terawat sedi ada,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO