Momentum Referendum Rakyat Akan Berterusan Di Rantau – PAS


REMBAU, 31 Mac – Naib Presiden PAS, Idris Ahmad yakin referendum rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan berterusan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Katanya, jika sebelum ini rakyat di Cameron Highlands dan Semenyih telah membuktikannya sebagai satu simbol penolakan kepada PH dengan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) maka kini di Rantau pula.

“Walaupun ini PRK dan tidak mengubah kerajaan… tetapi apa yang penting ialah pilihan raya ini sebagai satu referendum, sebagai satu tanda protes daripada rakyat yang telah pun dibuktikan di Cameron Highlands dan kemudiannya di Semenyih dan Insya-Allah pada 13 haribulan (April) nanti pengundi-pengundi di Rantau ini juga akan menghantar satu isyarat yang jelas kepada PH.

“Kalau hendak pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, kalau tidak mahu di’kencing’, jangan pangkah parti harapan.

“PRK ini bukan sahaja bermakna kepada rakyat Rantau, malahan juga rakyat di Malaysia ini terutamanya apabila pilihan raya ini kita melihat bergabung kekuatan kita antara PAS, UMNO dan juga MIC. Ini merupakan satu petunjuk yang amat menakutkan terutamanya daripada kalangan pimpinan Dap sehingga mereka mengecam dengan pelbagai gelaran,” kata Idris di dalam ceramah isu-isu semasa sempena kempen PRK DUN Rantau di Kampung Pasir Linsum, di sini, malam tadi.

Turut sama hadir ke program tersebut sebelumnya adalah calon BN yang juga penyandang merangkap Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias.

PH juga katanya sememangnya lebih sesuai menjadi pembangkang kerana walaupun telah menjadi kerajaan tetapi pemimpin-pemimpinnya masih bersikap seperti pembangkang.

“PH pakar jadi pembangkang, kita hantar dia pula jadi pembangkang semula… dilahirkan jadi pembangkang, dia jadi kerajaan pun macam pembangkang. Dia jawab soalan (dalam parlimen) pun macam pembangkang.

“Jadi dari segi fitrah sifat semula jadinya dilahirkan untuk jadi pembangkang, maka kita hendak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti kita hantar balik mereka jadi pembangkang,” tegasnya.

Idris juga membidas kerajaan PH yang suka memperdayakan rakyat dengan alasan yang dangkal serta mengelirukan jika melibatkan perkara kebajikan rakyat yang kini banyak dihapus serta dipotong.

“Sikit-sikit duit yang ada untuk digunakan bayar hutang. Masalahnya perbelanjaan (Bajet 2019) makin meningkat. Bajet 2018 zaman BN dulu RM282.5 bilion, zaman PH pula RM316.55 bilion meningkat hampir RM34.3 bilion. Perbelanjaan meningkat tapi macam disebut tadi hak (bantuan) nelayan dulu RM300 sekarang tinggal RM200, sepatutnya apabila perbelanjaan meningkat kamu boleh berikan untuk rakyat lebih banyak.

“Lagi pelik, perbelanjaan meningkat kita ingatkan digunakan untuk bayar hutang yang ditinggalkan zaman BN dulu, tiba-tiba hutang pula makin meningkat. Zaman BN dulu hutang RM686.7 bilion, zaman dia pula meningkat sebanyak RM741 bilion, meningkat sebanyak RM54.2 bilion dalam masa sepuluh bulan.

“Ini mahu berhutang lagi, namanya pula Bon Samurai sebanyak RM7.3 bilion. Hutang meningkat perbelanjaan meningkat sedangkan hak rakyat yang sepatutnya dapat kita tengok makin dikurangkan,” tegasnya.

Berhubung dengan Mohamad yang lebih mesra dengan panggilan Tok Mat Hasan, Idris yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang menyeru pengundi memilih bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu kerana mempunyai jasa yang amat besar kepada rakyat khususnya di kawasan Rantau tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. – MediaUMNO.

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.