PRK Kinabatangan/Lamag: BN Tampil Anak Muda Berkaliber – Rosnah

KUALA LUMPUR, 31 Dis – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kinabatangan Mohd Naim Kurniawan Moktar serta Mohd Ismail Haji Ayob (MIHA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.

Menurut Rosnah, dua anak muda berkaliber berkenaan tampil membawa semangat baharu namun berteraskan pengalaman, pengetahuan serta kefahaman yang mendalam tentang erti perjuangan sebenar.

“Mereka bukan sekadar calon, tetapi generasi pelapis yang dibentuk melalui proses, diuji dengan amanah dan diasuh dengan nilai khidmat kepada rakyat.

“Keberanian mereka untuk memikul tanggungjawab besar ini mencerminkan komitmen yang tinggi dalam mempertahankan serta memperkukuhkan perjuangan Barisan Nasional demi kestabilan dan masa depan kawasan,” kata Ketua Wanita UMNO Papar itu dalam satu hantaran di Facebook.

Seterusnya Rosnah berharapa agar kedua-dua anak muda ini dikurniakan kekuatan, ketenangan dan kebijaksanaan sepanjang menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.

“Didoakan agar setiap urusan dipermudahkan, langkah dipandu dengan hikmah, sokongan rakyat terus mengiringi, dan akhirnya memperoleh kemenangan untuk mempertahankan kerusi Barisan Nasional.

“Insya-Allah, dengan izin Allah SWT dan dokongan padu masyarakat, Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag akan terus maju di bawah kepimpinan yang berwibawa,” katanya.

Semalam, Pengerusi UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin mengumumkan kedua-dua nama tersebut sebagai calon BN.

PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag, Sabah pada 24 Jan 2026 manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 10 Jan dan 20 Jan. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO