Penganjuran Program Motorcross Mampu Angkat Nama Negeri Melaka
KUALA LUMPUR, 29 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berharap agar penganjuran program seperti sukan permotoran dapat mengangkat nama Negeri Melaka ke persada tanah air dan antarabangsa.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau memaklumkan bahawa Melaka Hard Enduro Vol 2 sempena Motocross Track Day Peringkat Negeri Melaka 2025 telah berjaya menarik 260 orang peserta dari seluruh negara termasuklah Singapura dan Indonesia.

“Alhamdulillah, pada pagi Ahad saya berbesar hati merasmikan Program Melaka Hard Enduro Vol 2 sempena Motocross Track Day Peringkat Negeri Melaka 2025 yang telah berlangsung dengan jayanya di Bukit Senggeh, Asahan.
“Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 260 orang peserta dari seluruh negara, termasuk dari Singapura dan Indonesia. Sambutan yang amat memberangsangkan ini membuktikan sukan bermotor khususnya ‘hard enduro’ dan ‘motocross’ semakin mendapat tempat di hati penggemar sukan serta golongan belia.
“Penganjuran kali kedua ini merupakan kesinambungan kejayaan Melaka Hard Enduro Vol 1 yang dianjurkan pada tahun 2020. Dengan penubuhan Kelab Sukan Bermotor FTG Bukit Senggeh, kerjasama erat Pejabat Belia dan Sukan Daerah Jasin, program ini berjaya direalisasikan semula dan berpotensi untuk dijadikan sebagai acara tahunan di DUN Asahan,” kata EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka itu.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Negeri Melaka turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut.
”Sukan ‘motocross’ bukan sahaja menguji ketahanan fizikal, kemahiran dan strategi peserta, malah berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan industri sukan bermotor yang merangkumi sektor automotif, kejuruteraan, pembuatan alat ganti serta pelancongan sukan.

“Program Motocross Track Day ini turut memberi peluang kepada para peserta merasai pengalaman menunggang di litar semula jadi Felda Bukit Senggeh, berlatar belakangkan keindahan flora dan fauna Hutan Simpan Bukit Senggeh, dalam persekitaran yang terkawal dan selamat. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Felda dan Jabatan Perhutanan Negeri Melaka atas sokongan yang diberikan.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Majlis Perbandaran Jasin, Ibu Pejabata Polis Daerah (IPD) Jasin, semua agensi terlibat, Persatuan Belia MAYC Simpang Bekoh dan Kelab Sukan Bermotor FTG Bukit Senggeh atas komitmen serta kerjasama erat dalam menjayakan program ini.
“Semoga penganjuran program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai platform mencungkil bakat baharu, mengaktifkan penglibatan belia da mengangkat nama Negeri Melaka ke persada sukan bermotor tanah air serta antarabangsa,” katanya lagi. – UMNO Online
