UMNO Beaufort Terus Prihatin: Ziarah Mangsa Rumah Roboh, Santuni Walimatulurus

BEAUFORT, 26 Dis – Kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan apabila Ketua UMNO Bahagian Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat turun padang menziarahi penduduk yang ditimpa musibah serta menyantuni majlis kemasyarakatan di sekitar Menumbok dan Beaufort.

Di Kampung Tepi Laut, Menumbok, beliau bersama isteri, Prof. Datin Dr. Norkiah Arsat, dan rombongan UMNO Bahagian Beaufort melawat kediaman Pn. Medah Abbas yang mengalami kerosakan teruk selepas sebahagian rumahnya roboh.

Ujarnya, keadaan tersebut amat menyentuh hati dan memerlukan tindakan segera demi keselamatan serta kesejahteraan keluarga berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan menyuarakan perkara berkenaan kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Timbalan Perdana Menteri, bagi memohon pertimbangan serta bantuan segera pembinaan sebuah rumah baharu.

“Semoga permohonan ini mendapat perhatian dan tindakan segera. Insya-Allah, saya akan terus berusaha dan memantau perkara ini agar bantuan dapat disalurkan secepat mungkin. Kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain Awang Aslee bersama isteri turut meluangkan masa menghadiri beberapa majlis walimatulurus di sekitar DUN Kuala Penyu dan DUN Klias, antaranya di Kg. Darat Menumbok, Kg. Jungkun Menumbok dan Kg. Kebatu, Beaufort.

Ujarnya, kehadiran ini bukan sekadar memenuhi undangan, malah mengukuhkan hubungan silaturahim serta memperlihatkan kebersamaan kepimpinan UMNO bersama masyarakat setempat.

Beliau turut mendoakan agar setiap pasangan pengantin dikurniakan kebahagiaan, keharmonian dan keberkatan dalam rumah tangga.

“UMNO Bahagian Beaufort komited untuk terus mendekati rakyat, menyantuni keperluan mereka dan memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terbela,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO