UMNO Sudah Ingatkan… Pas Kini Terbukti Dipermainkan PPBM – Noor Hariri

KUALA LUMPUR, 29 Dis – UMNO Kelantan tidak terkejut dengan apa yang terjadi di Perlis, tegas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor.

Menurutnya, perebutan kuasa antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pas dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) semakin kelihatan.

“UMNO pernah ingatkan Pas dahulu bagaimana PPBM banyak permainkan persahabatan yang dihulur.

“Kena ingat, PPBM adalah parti yang dianggotai ramai kumpulan pengkhianat mandat rakyat, baik daripada UMNO mahupun bekas pemimpin PKR.

“Lebih teruk lagi pada kali ini Presiden PPBM Tan Sri Muhyidin Yassin mempermainkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terang-terangan tanpa rasa hormat,” katanya kepada UMNO Online.

Hariri yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Kelantan berkata Pas perlu sedar, kemewahan wang yang dijanjikan Muhyidin untuk tinggalkan UMNO hanyalah bersifat sementara dan ia hanya untuk memartabatkan Muhyidin menjadi Perdana Menteri kembali.

“Pas perlu pandai memilih kawan. Kawan yang sanggup susah senang bersama dan tidak menikam sahabat ketika memerlukan.

“Betul… UMNO diuji dengan pelbagai perkara, tetapi kami tidak meninggalkan asas perjuangan kami dan persahabatan yang kami hulurkan. Inilah UMNO, parti yang tidak pernah mengkhianati rakan gabungan mereka,” ujarnya.

Untuk rekod, polemik di Perlis tercetus selepas wujud gerakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PPBM dan tiga Pas menarik sokongan terhadap Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Susulan itu, tiga ADUN Pas terbabit telah terhenti keahlian serta merta dan disahkan oleh Pas kelmarin.

Namun sehingga kini, PPBM masih berdiam diri terhadap pengkhianatan lima ADUNnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO