MB Seru Rakyat Johor Peka Perkembangan Cuaca Semasa
KUALA LUMPUR, 24 Dis – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan (waspada) yang dijangka berlaku bermula 26 hingga 29 Disember ini, melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menasihati orang ramai khususnya penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada, peka terhadap perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Kerajaan Negeri Johor melalui agensi-agensi berkaitan juga akan terus memantau situasi ini secara rapi dan berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan serta kebajikan Bangsa Johor sentiasa terpelihara,” kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor itu menerusi satu hantaran di Facebook.
Justeru, Onn Hafiz menyeru semua berdoa agar negeri Johor terus dilindungi dan dijauhkan daripada sebarang musibah, serta dipermudahkan segala urusan sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini. – UMNO ONLINE
