Titah Adendum Bukan Mainan, Ini Soal Keadilan Dan Maruah Negara – Faiz Hashim

KUALA LUMPUR, 24 Dis – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim menegaskan bahawa pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan lagi isu politik, tetapi soal keadilan, ihsan dan maruah negara.

Menurutnya, kewujudan Titah Adendum Diraja daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak boleh dipandang ringan apatah lagi diperkecilkan, kerana ia lahir daripada kebijaksanaan dan keprihatinan institusi Raja Berperlembagaan.

“Kerajaan tidak boleh terus berselindung di sebalik alasan teknikal undang-undang sambil menutup mata terhadap maksud besar Titah Diraja. Ini bukan soal melawan mahkamah, ini soal menghormati Raja dan menzahirkan ihsan.

“Ia amat tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan sekiranya kerajaan hari ini masih berkeras menahan Datuk Seri Najib Tun Razak, sedangkan beliau adalah bekas Perdana Menteri yang telah mengorbankan seluruh hidupnya untuk negara, membawa pembangunan, kestabilan dan kesejahteraan rakyat.

“Datuk Seri Najib Tun Razak bukan musuh negara. Beliau adalah pemimpin yang berjasa besar. Menghukum beliau tanpa ihsan adalah satu bentuk kezaliman politik yang akan tercatat dalam sejarah,” katanya kepada UMNO Online.

Seterusnya kata bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, menyatakan kesediaannya untuk menggantikan Najib Razak menjalani hukuman penjara, sebagai simbol bantahan terhadap ketidakadilan yang berlaku.

“Saya, Muhammad Faiz Hashim, dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab, sanggup menggantikan Najib Razak dipenjara asalkan beliau dibebaskan. Jika kerajaan masih mahu ‘mencari mangsa’, ambillah saya. Lepaskan beliau,” katanya.

Dalam masa sama beliau menambah sekiranya keengganan kerajaan mempertimbangkan pembebasan Najib, ia akan menghakis keyakinan rakyat, selain dilihat sebagai kegagalan memahami makna keadilan sebenar.

“Saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Namun kerajaan harus ingat, kezaliman tidak akan bertahan lama dan kebenaran akhirnya akan menang,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO