Norliza Kesal Kenyataan Yeo Bee Yin, Tegaskan Adab Perlu Dijaga

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyuarakan kekecewaannya terhadap sikap Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin, yang disifatkan seolah-olah “gembira” meraikan keputusan mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, rakyat boleh menilai sendiri sikap yang ditunjukkan oleh wakil rakyat berkenaan, yang disifatkan tidak mencerminkan nilai kemanusiaan dan adab sebagai seorang pemimpin.

Tegasnya, perbezaan pandangan dalam politik merupakan perkara biasa dan tidak dapat dielakkan, namun ia tidak seharusnya menjadi alasan untuk mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati pihak lain.

“Berbeza pendapat bukan lesen untuk hilang adab. Jika tidak mampu menunjukkan sedikit rasa simpati, cukuplah berdiam diri. Tidak perlu menambah kenyataan yang jelas mencerminkan keangkuhan,” katanya dalam satu kenyataan.

Norliza turut mengingatkan bahawa sebagai seorang pemimpin wanita, setiap kenyataan yang dikeluarkan perlu lebih berhemah dan matang kerana ia menjadi cerminan kepada nilai kepimpinan serta peribadi seseorang.

Beliau menegaskan bahawa ketinggian ilmu tidak semestinya melambangkan ketinggian budi pekerti.

“Seorang pemimpin seharusnya lebih arif bila perlu bersuara dan bila wajar menjaga nilai kemanusiaan, apatah lagi ketika semua pihak berada dalam kerangka Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Beliau berharap agar semua pemimpin, khususnya dalam kalangan anggota kerajaan, lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan supaya keharmonian politik dan sensitiviti rakyat dapat terus dipelihara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO