Pulang Ke Gerik… Dekati, Santuni Rakyat Tidak Kira Latar Belakang – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 22 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah turun padang untuk mendekati dan menyantuni rakyat Gerik tanpa mengira latar belakang pada hujung minggu lalu.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Dr Asyraf memaklumkan beliau telah menghadiri sembilan buah kenduri di sekitar kawasan itu pada Sabtu.

“Berpeluang menghadiri sembilan kenduri di sekitar Gerik. Suasananya cukup santai dan penuh kemesraan. Sempat bergurau senda, mendengar celoteh orang-orang kampung dan berkongsi tawa bersama.

“Apa yang paling bermakna, sempat singgah ke tempat gotong-royong memasak, tempat mereka membasuh pinggan dan menguruskan kenduri. Ada yang siap menjemput makan di tepi kawah, sederhana tapi penuh rasa kekeluargaan.

“Inilah keindahan hidup bermasyarakat di kampung. Santai, ikhlas dan penuh ukhuwah. Semoga hubungan baik ini terus terpelihara dan ukhuwah kita kekal selamanya,” katanya.

Manakala pada Ahad, Dr Asyraf terus menyantuni rakyat melalui pelbagai aktiviti termasuklah bertemu masyarakat India setempat untuk menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

“Menyambung rutin Sabtu, pada Ahad saya terus berada di Gerik dengan pengisian program yang sederhana namun penuh makna. Bermula awal pagi dengan solat Subuh berjemaah di Masjid Kampung Ayer Panas, Pengkalan Hulu, sebelum bersarapan santai bersama penduduk tempatan di Warung Mizan Simpang 3 Ayer Panas.

“Seterusnya, saya memenuhi undangan kenduri kahwin dan kenduri kesyukuran yang diselang-selikan dengan ziarah kasih kepada keluarga setempat melibatkan Felda Nenering, Kampung Padang Stang, Kampung Kerunai, Kampung Bongor, Kampung Umbut, Felda Bersia serta Dewan Kolej Vokasional Gerik. Setiap kunjungan dimanfaatkan untuk bertanya khabar dan menyampaikan bantuan setakat yang termampu.

“Saya turut singgah ke Stesen Bas Gerik dalam suasana santai bersama penggerak Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor, duduk semeja dan mendengar sendiri pandangan serta denyut nadi rakyat di lapangan.

Selanjutnya, Dr Asyraf juga berkesempatan bersama masyarakat India setempat untuk menyampaikan sumbangan kebajikan kepada mereka yang memerlukan.

“Inilah makna pulang ke Gerik, mendekati rakyat dan menyantuni semua tanpa mengira latar belakang. Semoga kita terus diberi kekuatan untuk terus membantu masyarakat yang memerlukan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO