Mohamad Hasan Turun Padang, Terus Santuni Rakyat Rembau
KUALA LUMPUR, 22 Dis – Kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Luar tidak membatas Datuk Seri Mohamad Hasan untuk turun padang ke Rembau bagi menyantuni rakyat di kawasan.
Bersempena cuti persekolahan yang sudah bermula, Ahli Parlimen Rembau itu berbesar hati menyempurnakan Program Khatan Beramai-Ramai yang diadakan di dua lokasi iaitu Balairaya Taman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Baiduri dan Taman Senawang Perdana.
“Program anjuran bersama Pejabat Dewan Undangan Negeri Rantau dan Persatuan PPR Taman Baiduri ini bukan sahaja memudahkan urusan ibu bapa, malah mencerminkan keprihatinan terhadap kesihatan anak-anak, sekaligus dapat memanfaatkan musim cuti persekolahan.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Fauzi Zakaria selaku Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman PPR Baiduri serta seluruh jawatankuasa atas penganjuran program yang bermanfaat kepada komuniti setempat ini.
“Selesai di Taman Baiduri di Rantau, terus ke Taman Senawang Perdana pula untuk majlis yang serupa, Majlis Berkhatan beramai anak-anak di taman tersebut. Ramai anak-anak yang akan berkhatan di taman ini.
“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Abd Rahman Yaacob Ketua UMNO Cawangan, Ustaz Khalid Pengerusi Persatuan Kesejahteraan dan Fadhil Pengerusi KRT,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau seterusnya ke Masjid Kuala Sawah bagi merasmikan Mesyuarat Agung Kali ke-44 Badan Khairat Kematian dan Kebajikan Kariah Masjid Kuala Sawah sebelum ke Majlis Apresiasi Kepimpinan Komuniti Erat Jasamu Dikenang DUN Paroi yang berlangsung di Nine Lakes Garden Restaurant, Taman Tasik Jaya.
Mohamad meluahkan kesyukuran dengan perjalanan majlis yang berjalan dengan lancar dan teratur hasil kerjasama serta komitmen semua pihak.
Di samping itu beliau turut menyampaikan penghargaan kepada pihak pengurusan masjid atas usaha berterusan memastikan kesejahteraan ahli kariah terus terbela.
“Para pemimpin komuniti memainkan peranan penting dalam menjadi penghubung antara rakyat dan kepimpinan, selain memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberi perhatian.
“Komitmen serta semangat kerjasama yang ditunjukkan menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan DUN Paroi,” ujar beliau. – UMNO Online
