BN Terus Melangkah Dengan Prinsip, Kesatuan Diperkukuh – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 20 Dis – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan komitmen parti itu untuk terus melangkah ke hadapan berteraskan prinsip perjuangan serta kesatuan yang kukuh dalam kalangan pimpinan dan ahli.

Menurut beliau, parti itu sentiasa bergerak sebagai satu pasukan, di mana kejayaan seseorang merupakan kekuatan bersama, manakala sebarang kekhilafan memberi kesan kepada keseluruhan perjuangan parti.

“Prinsip kebersamaan dan disiplin perjuangan mesti terus diperkukuh, sama ada di Parlimen, Dewan Undangan Negeri mahupun di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam dan Penghargaan bersama Ahli-ahli Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri BN, yang diadakan di sini bagi menghargai komitmen serta khidmat bakti wakil-wakil rakyat BN.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh wakil rakyat BN yang kini menggalas amanah besar dalam pelbagai peranan dan tanggungjawab demi rakyat dan negara.

Katanya, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat adalah amanah yang menuntut setiap keputusan dan tindakan dibuat berlandaskan kepentingan negara serta kesejahteraan masyarakat.

“Kita mungkin tidak dijanjikan laluan yang mudah, namun kita mesti kekal berani, konsisten dan berprinsip. Insya-Allah, Barisan Nasional akan terus kekal relevan sebagai wadah perjuangan yang bekerja, menyantuni dan mempertahankan rakyat,” katanya lagi.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO