Bantuan Kasih Johor Bukti Komitmen Kerajaan Negeri Bela Rakyat – Mohd Jafni

KULAI, 18 Dis – Kerajaan Negeri Johor terus membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan kesejahteraan rakyat apabila penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) bagi Daerah Kulai di bawah Inisiatif Baharu Belanjawan Negeri Johor 2026 berjaya dilaksanakan mengikut jadual.

Exco Kerajaan Negeri Johor, Mohd Jafni Md Shukor, berkata pelaksanaan bantuan berkenaan mencerminkan kesungguhan kepimpinan negeri di bawah pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, dalam menterjemahkan hasil negeri yang kukuh kepada manfaat langsung kepada rakyat.

“Alhamdulillah, pelaksanaan Bantuan Kasih Johor dan Bantuan Khas Kewangan di Daerah Kulai berjalan lancar dan tersusun. Ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Johor untuk memastikan setiap peningkatan hasil negeri dipulangkan semula kepada rakyat secara adil, telus dan berimpak,” katanya.

Beliau menegaskan semua bantuan dilaksanakan berdasarkan data yang disahkan serta tadbir urus yang telus.

“Inilah pendekatan Kerajaan Negeri Johor yang berteras rakyat. Insya-Allah, komitmen ini akan terus diperkukuh demi Johor yang lebih sejahtera, inklusif dan mampan.”

Menurut Mohd Jafni, bagi kategori BKJ Pelatih PDK (JKM), seramai 114 penerima dari DUN Bukit Batu dan Bukit Permai menerima manfaat dengan jumlah peruntukan RM34,200, sebagai sokongan kepada usaha membina kemahiran dan meningkatkan potensi diri selari dengan agenda pembangunan modal insan Johor.

Sementara itu, BKJ Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 609 penerima dari DUN Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai dengan jumlah peruntukan RM609,000, manakala BKJ Ketua Kampung dan Ketua Masyarakat disalurkan kepada 28 penerima berjumlah RM14,000 sebagai penghargaan terhadap peranan kepimpinan akar umbi.

Dalam aspek kebajikan komuniti, BKJ Veterinar memberi manfaat kepada 118 penerima dengan peruntukan RM23,600. BKJ Warga Emas pula melibatkan 734 penerima berjumlah RM146,800, manakala BKJ OKU memberi manfaat kepada 1,306 penerima dengan peruntukan RM261,200, memastikan golongan rentan terus dibela tanpa tercicir.

Mengulas sokongan terhadap sektor pertanian dan keterjaminan makanan, Mohd Jafni memaklumkan BKJ Petani disalurkan kepada 3,159 penerima dari Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai dengan jumlah peruntukan RM631,800.

“Kerajaan Negeri komited memperkukuh sektor pertanian kerana ia berkait rapat dengan kelangsungan sumber makanan dan ekonomi luar bandar rakyat,” jelasnya.

Bagi sektor mobiliti dan perkhidmatan harian, BKJ e-Hailing, p-Hailing dan Pemandu Teksi (PAJ) melibatkan 3,264 penerima dengan peruntukan RM652,800, sebagai pengiktirafan kepada peranan penting golongan berkenaan dalam memastikan kelancaran urusan harian rakyat dan ekonomi setempat.

Selain itu, Bantuan Khas Kewangan (BKK) Penjawat Awam turut diselesaikan melibatkan Hospital Kulai (920 penerima, RM276,000), UTM (3,986 penerima, RM1,195,800), IPD (707 penerima, RM212,100) serta PPD melibatkan 2,162 penerima di Bukit Permai (RM648,600) dan 787 penerima di Bukit Batu (RM236,100).

“Penjawat awam adalah tulang belakang penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Kerajaan Negeri amat menghargai dedikasi dan komitmen mereka,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO