Wan Rosdy Tinjau Tapak Residensi Lanchang, Santuni Penduduk Temerloh

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berbesar hati mengadakan lawatan ke Tapak Projek Residensi Lanchang Sempena Jelajah Aspirasi Pahang 1st Daerah Temerloh.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata lawatan ini bertujuan meninjau kemajuan pelaksanaan projek perumahan serta memastikan ia berjalan lancar mengikut perancangan yang ditetapkan.

“Diharapkan projek residensi ini dapat menyediakan persekitaran kediaman yang selesa, selamat dan berkualiti.

“Seterusnya meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk setempat,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Wan Rosdy kemudiannya meluang masa bersama penduduk setempat di D’Coconut Agrofarm, Kampung Desa Bakti, Temerloh.

Kesempatan tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk beliau beramah mesra dan bertanya khabar dengan orang ramai.

“Suasana ceria dengan celoteh dan cerita masyarakat di sini. Meriah yakmat demeh ni weh.

“Semoga segala perancangan yang dirancang buat rakyat dan negeri, dapat dilaksana dengan sebaiknya demi kesejahteraan semua.

“Saya juga ingin menasihatkan agar semua penduduk negeri Pahang agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati sepanjang musim tengkujuh ini,” ujar beliau.

Terdahulu menerusi hantaran berbeza Wan Rosdy turut menyaksikan majlis angkat sumpah dan  menyerahkan surat Pertukaran Dan Urusan Pemangkuan Kenaikan Pangkat Bagi Pegawai-Pegawai Kanan di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Pahang.

Beliau seterusnya mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) di Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.

“Tahniah dan syabas saya ucapkan Datuk Aida Munira Abdul Rafar atas kenaikan pangkat ke Gred Utama C dan ditempatkan sebagai Pengarah Tanah Dan Galian Pahang bermula 15 Disember dan Ir Arman Mokhtar sebagai Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Pahang bermula 10 Disember.

“Saya yakin dengan pengalaman luas, komitmen tinggi dan rekod perkhidmatan cemerlang yang dimiliki, kedua-dua mereka ini akan terus memberi sumbangan dalam memperkukuh tadbir urus kerajaan negeri serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO