Rombakan Kabinet Bukti Keyakinan Terhadap Barisan Nasional – Azalina
KUALA LUMPUR, 17 Dis – Rombakan Kabinet yang diumumkan semalam jelas mencerminkan keyakinan dan kepercayaan pucuk pimpinan negara terhadap keupayaan Barisan Nasional (BN) untuk terus memikul amanah serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi berkata, langkah tersebut membuktikan bahawa BN terus diberi kepercayaan bagi melaksanakan tanggungjawab.

“Ini jelas menunjukkan keyakinan dan kepercayaan kepada wakil Barisan Nasional untuk terus memikul amanah serta melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negara. Rombakan ini bukan soal individu, tetapi soal memastikan kesinambungan dasar serta kecekapan pentadbiran kerajaan,” katanya dalam satu hantaran pendek di laman Facebooknya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan rombakan Kabinet Kerajaan MADANI membabitkan 28 menteri dan timbalan menteri, merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
BN diberi kepercayaan mengisi lapan jawatan menteri dan lima jawatan timbalan menteri secara keseluruhan dalam Kerajaan MADANI.
Semalam lantikan baharu melibatkan BN ialah Datuk Seri Dr Noraini Ahmad sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri).
Turut menerima amanah baharu ialah Datuk Mohd Shahar Abdullah sebagai Timbalan Menteri Ekonomi; Datuk Mohamad Alamin (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) serta Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air). – UMNO Online
