Rais Harap Usaha 2025 Jadi Asas Kukuh Tahun Hadapan
KUALA LUMPUR, 17 Dis – Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berharap segala perancangan serta usaha yang dilaksanakan sepanjang tahun ini dapat dijadikan asas kukuh untuk melangkah ke tahun hadapan dengan lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, segala usaha dan pencapaian yang telah direalisasikan sepanjang tahun ini wajar dimanfaatkan bagi terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta merangka perancangan pembangunan yang lebih mampan demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, Mesyuarat Post-EXCO terakhir bagi tahun 2025 yang dipengerusikannya malam tadi menjadi platform penyelarasan akhir bagi meneliti pelaksanaan keputusan-keputusan Mesyuarat EXCO sepanjang tahun.
“Mesyuarat ini penting bagi memastikan setiap dasar, inisiatif dan keputusan yang telah dipersetujui dilaksanakan secara teratur, berkesan dan berfokus kepada kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.
Dalam pada itu, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh jawatankuasa, pegawai serta semua pihak yang terlibat atas komitmen, kerjasama dan dedikasi yang diberikan tanpa berbelah bahagi.
Beliau turut menegaskan bahawa semangat kerjasama berpasukan, komunikasi yang berterusan serta kecekapan dalam melaksanakan tanggungjawab sepanjang tahun ini menjadi faktor utama kepada kelancaran pentadbiran dan kejayaan pelaksanaan agenda Kerajaan Negeri Melaka. – UMNO Online
