Mesyuarat MIP: Semoga Segala Keputusan Diterjemah Pelaksanaan Nyata – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berharap agar segala keputusan yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Industri Pertahanan (MIP) dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan nyata.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan beliau telah Mempengerusikan Mesyuarat MIP Bil. 2/2025 di Wisma Pertahanan pada Selasa.

“Mempengerusikan Mesyuarat MIP Bil. 2/2025 di Wisma Pertahanan sebagai platform strategik memperkukuh hala tuju industri pertahanan negara.

”Mesyuarat ini menumpukan kepada persediaan pelaksanaan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) tahun hadapan, termasuk peranan MIP sebagai jentera penyelaras utama untuk memastikan dasar ini dilaksana secara tersusun, berdisiplin dan berkesan.

“Perbincangan turut memberi penekanan kepada pengukuhan industri pertahanan tempatan dalam rantaian bekalan global, keberkesanan Program Kolaborasi Industri (ICP) dan penyelarasan manfaat bersama syarikat berkaitan kerajaan serta institusi penyelidikan seperti STRIDE,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau turut memaklumkan bahawa pembentangan projek pertahanan nasional juga menjadi fokus dalam mesyuarat tersebut.

“Mesyuarat ini juga membincangkan penambahbaikan tadbir urus MIP, pelaksanaan Pensijilan MIP, pembentangan projek pertahanan nasional dan peranan syarikat strategik dalam menyokong keperluan Angkatan Tentera Malaysia serta keutamaan pertahanan negara.

“Saya berharap segala keputusan dan tindakan susulan yang dipersetujui dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan nyata, konsisten dan berimpak tinggi dalam memperkasa kemandirian strategik serta daya saing industri pertahanan Malaysia,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO