Jafry Ariffin Yakin Pelancongan Sabah Terus Berkembang Secara Mampan

KOTA KINABALU, 17 Dis – Industri pelancongan Sabah terus mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila merekodkan nilai RM13.7 bilion pada tahun 2024, sekali gus menyumbang 12 peratus kepada ekonomi negeri dan menyediakan sebanyak 387,600 peluang pekerjaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, Datuk Jafry Ariffin berkata, pencapaian itu berdasarkan data Akaun Satelit Pelancongan Wilayah (ASPW) Sabah 2024 yang diterbitkan oleh kementeriannya dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Sabah, industri pelancongan negeri mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.2 peratus berbanding tahun 2023, manakala Keluaran Dalam Negeri Kasar Pelancongan Langsung (KDNKPL) turut berkembang 4.5 peratus atau bersamaan RM5.2 bilion.

“Prestasi positif ini disokong oleh peningkatan dalam sektor perdagangan runcit yang berkembang 3.2 peratus, selain sektor perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman yang mencatatkan pertumbuhan 3.5 peratus,” katanya ketika mengambil bahagian dalam sesi siding DUN Sabah semalam.

Jelasnya, dari segi sumbangan subsektor, perdagangan runcit kekal sebagai penyumbang terbesar dengan 47.3 peratus, diikuti perkhidmatan penginapan serta makanan dan minuman sebanyak 29.7 peratus.

“Aktiviti lain seperti agensi pengembaraan, perkhidmatan kebudayaan, sukan dan rekreasi serta perkhidmatan pengangkutan menyumbang baki 23 peratus.

“Dalam aspek tenaga kerja pula, sektor pelancongan telah menyediakan pekerjaan kepada 387,600 orang, meningkat 6.9 peratus berbanding tahun sebelumnya. Perdagangan runcit menyumbang 44.5 peratus, manakala perkhidmatan penginapan dan makanan & minuman sebanyak 41.6 peratus, menjadikan kedua-dua sektor ini penyumbang utama dengan 86.1 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja industri pelancongan.”

Jafry berkata, data RTSA Sabah 2024 yang bersifat inklusif, berintegriti dan komprehensif itu menyediakan indikator penting kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS), penyedia penginapan, restoran, pengangkutan serta sektor runcit untuk merancang perniagaan dengan lebih berkesan.

“Secara keseluruhan, prestasi industri pelancongan ini amat signifikan kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam menilai keberkesanan sektor berkenaan serta merangka dasar bagi memperkasakan aktiviti pelancongan secara mampan, selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO