Norshida Tekankan Pentingnya Pendidikan Awal Dalam Pembentukan Generasi Masa Hadapan
SEGAMAT, 17 Dis – Ketua Wanita UMNO Segamat, Datuk Norshida Ibrahim, menegaskan bahawa pendidikan awal kanak-kanak merupakan asas paling penting dalam membentuk masa depan generasi akan datang, selaras dengan aspirasi negara untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Hari Apresiasi Tabika, Taska dan IQFA KEMAS Segamat 2025, yang menghimpunkan para pendidik, ibu bapa serta komuniti setempat bagi menghargai usaha dan sumbangan dalam mendidik anak-anak sejak usia awal.
Menurut Norshida, pendidikan awal bukan sekadar proses pembelajaran asas seperti membaca, menulis dan mengira, sebaliknya merupakan langkah pertama yang kritikal dalam membentuk sahsiah, emosi dan sosial kanak-kanak.

“Kita harus memahami bahawa pendidikan awal adalah pelaburan jangka panjang yang amat bernilai. Apa yang dilakukan oleh para guru, ibu bapa dan komuniti hari ini akan menentukan corak pemikiran, sikap serta keupayaan anak-anak kita pada masa hadapan,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para pendidik Tabika, Taska dan IQFA KEMAS yang sentiasa komited dalam memberikan didikan terbaik kepada kanak-kanak, meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Tambah beliau, peranan guru pendidikan awal amat besar kerana mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, malah membimbing kanak-kanak untuk berinteraksi, berkomunikasi serta memahami diri sendiri dan orang lain.
“Di sinilah anak-anak kita belajar nilai-nilai murni seperti empati, kerjasama dan hormat-menghormati. Proses ini membentuk asas yang kukuh untuk pertumbuhan emosi dan sosial mereka,” jelasnya.
Norshida turut menekankan bahawa kejayaan pendidikan awal tidak boleh digalas oleh guru semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan berterusan daripada ibu bapa dan komuniti setempat.

Beliau menyeru semua pihak agar terus berganding bahu memperkaya pengalaman pembelajaran kanak-kanak, menyediakan persekitaran yang selamat dan kondusif serta membekalkan kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi dunia yang semakin mencabar.
“Pendidikan awal bukan sekadar tentang akademik, tetapi tentang membentuk individu yang berpengetahuan, berempati dan bersedia menghadapi cabaran hidup. Dengan asas kukuh yang dibina di Tabika dan Taska KEMAS, kita yakin anak-anak ini akan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan dan semangat untuk terus belajar,” katanya lagi.
Majlis Hari Apresiasi tersebut turut menjadi platform untuk mengiktiraf sumbangan para guru, pengasuh dan kakitangan KEMAS yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam mendidik anak-anak di daerah Segamat. – UMNO Online
