Rombakan Kabinet: Dr Asyraf Ucap Tahniah, Tegaskan Ia Amanah Besar

KUALA LUMPUR, 17 Dis – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan tahniah kepada barisan jemaah yang baru diumumkan pada Selasa dan menegaskan ia adalah sebuah amanah besar.

Beliau yang juga Pengerusi MARA turut berkata, pelantikan tersebut bukanlah satu bentuk kemasyhuran ataupun ‘tashrif’ untuk dibanggakan.

“Tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang baharu. Beringat selalu bahawa ia adalah amanah besar (taklif) yang akan dipertanggungjawabkan bukan satu bentuk kemasyuhuran (tashrif) untuk dibanggakan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Pada Selasa media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pelantikan anggota pentadbiran Kerajaan Madani yang baharu di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya.

Pelantikan itu merupakan langkah penstrukturan semula bagi memperkukuh kecekapan pentadbiran serta memastikan pelaksanaan dasar kerajaan berjalan lebih berkesan.

Ujarnya, rombakan tersebut dilakukan supaya kabinet dapat bekerja sebagai satu pasukan, menumpukan perhatian kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih segar dan menyelesaikan masalah rakyat.

Untuk rekod, seramai sembilan muka baharu dilantik menganggotai barisan Kabinet baharu.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, manakala Ahli Parlimen Mas Gading, Mordi Bimol dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, dan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah dilantik sebagai Timbalan Menteri Ekonomi.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, manakala Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara.

Selain itu, Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Turut dilantik ialah pendakwah bebas Marhamah Rosli sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), serta Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO