Harun Durabi Prihatin Mangsa Kebakaran, Tegaskan Komitmen Untuk Rakyat

KUDAT, 17 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Datuk Harun Durabi, menunjukkan keprihatinannya terhadap masyarakat selepas kebakaran yang berlaku di Asrama Desa SK Pinapak pada Jumaat lalu.

Dalam lawatan ke lokasi kejadian, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kudat telah meninjau sendiri kesan kebakaran dan bertemu mangsa bagi memberi sokongan serta menghulurkan bantuan segera.

Beliau menegaskan, tanggungjawab wakil rakyat bukan sekadar suara di Dewan Undangan Negeri, tetapi juga hadir di sisi rakyat ketika menghadapi musibah.

“Saya merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas kejadian ini dan mendoakan agar semua mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan. Sebagai tanda keprihatinan, bantuan kewangan akan disalurkan untuk meringankan beban mangsa, khususnya dalam usaha pemulihan dan keperluan asas,” ujarnya.

Beliau menambah, pemantauan dan kerjasama dengan pihak berkaitan akan diteruskan bagi memastikan kebajikan mangsa sentiasa diberi perhatian sewajarnya.

Sebelum itu, pada 11 Disember, Harun telah menyempurnakan Majlis Angkat Sumpah sebagai ADUN bagi N.2 Bengkoka selepas memenangi kerusi terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akhir bulan lalu.

Ujarnya, lafaz sumpah tersebut menandakan permulaan tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada rakyat dengan integriti dan kesungguhan.

Beliau mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat Bengkoka atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili suara mereka di DUN Sabah.

“Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh penduduk Bengkoka yang telah menunjukkan keyakinan dan memberikan mandat kepada saya untuk mewakili suara mereka di DUN. Sokongan yang diberikan oleh rakyat Bengkoka amat saya hargai dan akan menjadi pendorong untuk saya memperjuangkan suara serta kepentingan rakyat sebaik mungkin.

“Dengan keizinan Allah, saya berazam untuk terus berusaha memperkukuh pembangunan, meningkatkan kesejahteraan serta memastikan kebajikan rakyat Bengkoka diberi perhatian sewajarnya. Setiap langkah yang diambil akan sentiasa menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan utama.” jelas beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO