Dr Masliha Terus Aktifkan SWP, Komited Perkasa Kesihatan Menerusi Skuad Maya FELDA
KUALA LUMPUR, 16 Dis – Sekretariat Wanita Profesional (SWP) terus membuktikan komitmen tinggi dalam agenda pemerkasaan masyarakat apabila terlibat secara aktif dalam Program Pemerkasaan Komuniti melalui kerjasama strategik bersama FELDA dan Yayasan FELDA menerusi inisiatif Skuad Maya FELDA.
Pengerusinya, Dr. Masliha Harun berkata, program tersebut merupakan usaha berimpak tinggi di bawah FELDA yang memberi tumpuan kepada pembentukan komuniti sihat melalui latihan ahli masyarakat sebagai agen kesihatan atau duta komuniti di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, pendekatan yang diguna pakai bersifat jelas dan berjangka panjang, iaitu memastikan tahap kesihatan komuniti dipelihara sejak peringkat awal bagi meningkatkan produktiviti kehidupan, memanjangkan jangka hayat serta mengurangkan beban kos rawatan dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Jika kesihatan dijaga dari peringkat awal, produktiviti hidup akan meningkat, jangka hayat menjadi lebih panjang dan, insya-Allah, kos rawatan dapat dikurangkan secara signifikan. Program ini merupakan usaha berimpak tinggi di bawah FELDA yang memberi tumpuan kepada pembentukan komuniti sihat melalui latihan ahli masyarakat sebagai agen kesihatan atau duta komuniti.
“Skuad Maya FELDA adalah sebahagian daripada Program Komuniti Sihat FELDA Madani yang menerima peruntukan RM3.8 juta daripada Pejabat Perdana Menteri, khusus bagi memperkasakan komuniti FELDA.
“Sehingga kini, seramai 1,585 sukarelawan telah dilatih melibatkan 317 rancangan FELDA di seluruh negara, dengan Wilayah Gua Musang menjadi destinasi terakhir bagi siri bengkel latihan fasa pertama,” katanya kepada UMNO Online.
Menurut beliau, jelajah kesihatan dan latihan tersebut bermula sejak September 2024 dan akan diteruskan sehingga Disember 2025. Program ini merangkumi pelbagai aktiviti intervensi kesihatan, latihan kemahiran asas perubatan serta inisiatif kesedaran komuniti bagi meningkatkan tahap kesihatan penduduk setempat secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO memaklumkan bahawa pelbagai modul latihan komprehensif telah dilaksanakan sepanjang program bagi memastikan impak yang holistik dan berkesan kepada komuniti setempat.

“Antara kandungan utama latihan tersebut ialah saringan kesihatan fizikal yang merangkumi pemeriksaan kencing manis, darah tinggi dan obesiti, yang dilaksanakan sendiri olehnya bagi memastikan tahap kesihatan peserta dapat dikenal pasti lebih awal.
“Program itu turut memberi penekanan kepada aspek kesejahteraan emosi menerusi saringan kesihatan mental yang dikendalikan oleh pasukan SWP dari Pusat Jiwa Damai, diketuai oleh Dr Hasnor Safwan Muhamad Hasnan.
“Selain itu, latihan bantuan kecemasan termasuk Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) turut diberikan oleh Paramedik MA kepada semua sukarelawan yang terlibat sebagai persediaan awal menghadapi sebarang situasi kecemasan di peringkat komuniti,” katanya.
Tambah Dr Masliha, program berkenaan kini telah memasuki fasa kedua dan seterusnya akan bergerak ke fasa ketiga yang memberi tumpuan kepada intervensi setempat serta pelaksanaan berfasa dalam komuniti bagi memastikan impak yang lebih mampan dan berkesan.
“Semoga inisiatif ini menjadi model terbaik dalam penjagaan kesihatan komuniti luar bandar, dan segala dapatan data yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh Kerajaan dalam membendung penyakit tidak berjangkit (NCD) secara sistematik,” katanya lagi.
Beliau turut berharap pendekatan bersepadu yang dilaksanakan bukan sahaja dapat meningkatkan tahap kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat, malah memperkasa komuniti setempat untuk mengambil peranan aktif sebagai barisan hadapan dalam pencegahan awal penyakit serta mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan. – UMNO Online
