Kontraktor Aktif, Berkeupayaan Terus Diberi Ruang Dalam Sektor Pembinaan Negara
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan kepentingan penyusunan semula sistem penyaringan kontraktor agar hanya pemain industri pembinaan yang benar-benar aktif dan berkeupayaan diberi ruang meneruskan kelangsungan dalam sektor tersebut.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata langkah itu penting bagi mengelakkan persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan industri.
“Dalam pertemuan bersama para pemain industri ini, saya telah menegaskan keperluan pelaksanaan saringan yang lebih tersusun terhadap kontraktor agar hanya mereka yang benar-benar aktif dan berkeupayaan terus diberi ruang dalam sektor pembinaan negara.
“Langkah ini adalah bagi mengelakkan persaingan tidak sihat yang akhirnya merugikan kontraktor sebenar dan menjejaskan kelangsungan industri secara keseluruhan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Makan Malam sempena Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Kali Ke-46 di World Trade Centre Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu beliau turut menekankan bahawa kepercayaan terhadap sistem dan kementerian perlu diperkukuh supaya pelaksanaan projek dapat berjalan dengan lancar.
“Isu kelewatan projek harus dilihat secara adil dan menyeluruh, termasuk faktor pembayaran yang tertangguh, kerana kontraktor tidak mungkin dapat meneruskan kerja tanpa aliran peruntukan yang teratur.
“Kerajaan komited untuk memastikan ekosistem industri pembinaan yang lebih telus, berdaya saing dan mampan.
“Insya-Allah, melalui kerjasama erat antara Kerajaan, persatuan dan pemain industri, sektor pembinaan negara dapat terus diperkasa sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online
