Ahmad Zahid Rakam Tahniah, Skuad Takraw, Beregu Wanita Badminton Tamatkan Kemarau Emas

KUALA LUMPUR, 15 Dis – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada skuad sepak takraw negara serta pasangan beregu wanita badminton yang berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia di temasya Sukan SEA Thailand 2025.

Menurut beliau, kejayaan skuad sepak takraw negara merangkul pingat emas acara regu berpasukan merupakan satu detik bersejarah apabila penantian selama 34 tahun akhirnya berakhir, lebih manis apabila kemenangan tersebut diraih dengan menewaskan musuh tradisi, Thailand yang juga juara bertahan.

“Kejayaan ini amat membanggakan seluruh rakyat Malaysia. Ia bukan sahaja menamatkan penantian panjang selama 34 tahun, malah membuktikan keupayaan atlet negara untuk bangkit menewaskan juara bertahan di gelanggang lawan,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen dan pengorbanan seluruh pasukan termasuk barisan jurulatih serta pihak di belakang tabir yang bekerja keras memastikan kejayaan bermakna itu tercapai.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah, yang berjaya menamatkan kemarau 10 tahun pingat emas Sukan SEA bagi acara tersebut.

“Kejayaan Pearly Tan dan M. Thinaah amat signifikan dan menjadi bukti bahawa atlet wanita negara mampu bersaing dan muncul juara di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, kejayaan-kejayaan ini mencerminkan semangat juang tinggi, disiplin serta kesungguhan para atlet dalam mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap pencapaian tersebut akan menjadi pembakar semangat kepada atlet lain untuk terus berusaha dan tidak berputus asa.
“Kepada yang belum berjaya, teruskan kerja keras. Insya-Allah, pingat emas akan menjadi milik anda suatu hari nanti. UMNO dan seluruh rakyat Malaysia sentiasa berdiri di belakang para atlet negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO